Saturday, January 1, 2011

Mahasiswa Tahun 2010 dan Azam Baru tahun 2011


                        Kita melangkah masuk ke Tahun 2011 dengan satu harapan baru dan kita tinggalkan Tahun 2010 dengan pelbagai peristiwa manis dan pahit yang mungkin kita tidak dapat lupakan. Sebagai seorang yang telah berkecimpung dalam kepimpinan mahasiswa sejak dari tahun 1 sehinggalah tahun 3 iaitu tahun akhir, saya melihat tahun 2010 sebagai tahun yang sangat mencabar bagi saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Dalam tahun 2010, pelbagai peristiwa yang manis dan pahit telah melanda diri saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa.
                         Sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM sidang akademik 2009/2010, saya dan sahabat-sahabat MPP yang lain telah bersama-sama dalam memastikan dua aspek yang berkaitan dengan mahasiswa berjalan dengan lancar iaitu kebajikan mahasiswa dan juga program-program universiti. Pelbagai perkara yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa telah berjaya diselesaikan seperti isu buku teks, isu kafeteria dan ada juga yang sedang menanti untuk diselesaikan.
                  
                        Program-program universiti yang telah diadakan ialah seperti Karnival Tahun Baru Cina, sesi penerangan Model Baru Ekonomi (MBE) oleh VC, National Research and Innovation Competition (NRIC), Kempen Tangisan Jiwa, CONVEX, program solat hajat perdana sempena peperiksaan dan lain-lain lagi. Parlimen mahasiswa USM juga bersidang buat kali pertama dalam sejarah pada bulan Oktober 2010.
                       
                             Selain itu, saya juga telah terlibat dalam pembentukkan beberapa sekretariat. Pertama adalah Majlis YDP-YDP Majlis Penghuni Desasiswa(MPD)  yang mana  menggabungkan YDP setiap MPD dalam majlis ini an dipengerusikan oleh saudara Idzuan.Ini adalah usaha MPP untuk memastikan MPD bersama-sama dengan MPP dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa di desasiswa. Selain itu, pembentukkan Sekretariat Anak-Anak Negeri yang menggabungkan semua anak-anak negeri  juga berperanan dalam menjaga kebajikan mahasiswa dari negeri masing-masing.Ia telah dipengerusikan oleh saudara Akif. Pembentukkan Sekretariat Persatuan Pusat Pengajian adalah langkah yang diambil oleh pihak MPP dalam memastikan akademik mahasiswa dalam keadaan cemerlang dan dipengerusikan oleh saudara Faris Hakim.Ketiga-tiga sekretariat ini bukanlah berada di bawah MPP tapi bersama MPP dalam melancarkan kebajikan mahasiswa.

                        Di peringkat kebangsaan, saya telah dipilih untuk menjadi Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan juga Pengerusi Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA Malaysia bagi sidang akademik 2010/2011.Ini bukanlah satu tugas yang mudah kerana amanah ini sangat berat untuk dipikul tetapi atas sokongan sahabat-sahabat YDP/Presiden,saya dan sahabat-sahabat tetap teguh berdiri. Walaupun ramai pihak menganggap kami sebagai lesu hakikatnya kami bukanlah lesu seperti yang diperkatakan, kami tetap terus berjuang kerana kami sedar berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
                     
                      Pelbagai isu yang telah dihadapi oleh saya dan sahabat-sahabat seperti isu mahasiswa berpolitik, isu kenaikan harga barang sehinggalah isu militan di IPT.
Isu mahasiswa berpolitik adalah isu yang paling panas diperkatakan. Secara peribadi, saya kurang bersetuju penglibatan mahasiswa dalam parti politik pada waktu sekarang ini.Walaupun saya dihentam oleh pihak-pihak tertentu tetapi itu adalah lumrah sebagai seorang pemimpin. Saya dan sahabat-sahabat lain berpendapat kenaikan harga barang ini perlulah dipastikan tidak membebankan golongan terkebawah atau ‘bottom billion’.

                 Selain itu, kami juga membantah tindakan penganjur Islamic Fashion Festival (IFF) di Monaco yang mana dilihat mencemarkan cara pemakaian muslim dan muslimah.Walaubagaimanapun, saya tidaklah membantah penganjuran IFF di mana-mana negara tetapi perlulah mengikuti disiplin yang telah ditetapkan.Ada segelintir pihak mengatakan bahawa IPT adalah tempat merekrut militan, saya secara tegas  membantah tindakan ini yang mana saya lihat tidak ada bukti atau angka yag tepat tentang isu tersebut.

                 Selain itu,  isu pembuangan bayi juga telah menyebabkan saya telah memohon sahabat-sahabat YDP/Presiden untuk mengadakan kempen kesedaran tentang pembuangan bayi di dalam kampus dan juga masyarakat di sekitar luar kampus.Contoh di sebelah zon utara, USM, UNIMAP dan UUM telah bekerjasama untuk mengadakan kempen kesedaran yang dinamakan Kempen Tangisan Jiwa di sekitar Pulau Pinang.

                 Isu Gaza juga menjadi mendapat tumpuan saya dan sahabat-sahabat. Kami sebulat suara untuk mengadakan kutipan derma di setiap universiti bagi mebantu saudara Islam kita yang berada di Gaza.Bantuan ini disalurkan kepada yang memerlukan di Gaza. Isu rusuhan segelintir rakyat Indonesia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga telah menyebabkan saya telah menghantar surat kepada Duta Besar Indonesia di Kuala Lumpur untuk menyatakan bantahan kepada tindakan segelintir rakyat Indonesia yang membakar bendera Malaysia dan melemparkan najis ke dalam kedutaan Malaysia.


                     Saya juga melihat mesyuarat MPPK , Konvesyen MPP dan juga Kursus Pengurusan Organisasi(KPO) perlulah diperbaiki dari segi masa dan juga pengisian tersebut. Mesyuarat Jemaah YDP/Presiden MPP baru-baru ini di UTM,  menetapkan untuk mencadangkan  Parlimen Mahasiswa Malaysia kepada YB Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Noordin untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Kemudian, satu mesyuarat yang khusus perlu diadakan untuk mebincangkan perkara ini.Penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia dapat dilihat sebagai satu transformasi politik mahasiswa
dari takuk lama kepada dimensi baru. Ia akan meluaskan partisipasi mahasiswa dalam membantu kerajaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan mahasiswa.

                       Berakhirnya tahu 2010, pastinya akan mengukir seribu kenangan manis dan pahit dalam diri setiap orang.Pastinya tahun 2010  akan dijadikan pengajaran dan iktibar dan pada tahun 2011 ini dijadikan sebagai tahun untuk mencapai kecemerlangan. Mahasiswa pada hari ini perlulah menjadi satu golongan bebas dan tidak perlu dikongkong oleh mana-mana pihak. Mahasiswa pada hari ini perlulah,rasional, realistik dan juga toleransi.


AHMAD WAFI BIN SAHEDAN                                            1.11.11               1.11am

0 comments:

Post a Comment