Monday, January 24, 2011

Parlimen Mahasiswa Satu Harapan

Parlimen Mahasiswa Malaysia menjadi satu impian mahasiswa sebagai satu platform kepada mahasiswa untuk menggabungkan suara kepimpinan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan mahasiswa berkenaan isu-isu yang berkaitan mahasiswa dan juga negara.Parlimen ini juga dilihat sebagai satu transformasi untuk mengubah kerangka politik mahasiswa sekarang kepada kerangka politik yang baru.

Kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini pastinya akan membentuk satu budaya baru dalam kalangan mahasiswa iaitu perbahasan secara intelektual tanpa dipengaruhi sentimen politik dan emosi. Golongan mahasiswa pada hari ini perlu sedar bahawa mereka adalah golongan ketiga ataupun "Third Force" dalam negara ini iaitu golongan yang neutral dan bebas untuk mengkritik mana-mana pihak tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.Pandangan yang ingin dikeluarkan oleh Parlimen Mahasiswa ini perlulah melalui perbahasan secara intelektual terlebih dahulu bagi menunjukkan kematangan mahasiswa dalam melihat sesuatu isu.

Saya dan sahabat-sahabat melihat perkara ini dengan serius memandangkan pelbagai persepsi yang mengatakan mahasiswa pada hari sebagai "mahasiswa lesu" walhal penilaian yang dilakukan terhadap mahasiswa ini tidak adil dan berat sebelah. Jadi, pada 19hb Disember 2010, bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM),saya telah mencadangkan kepada sahabat-sahabat saya satu cadangan iaitu berkenaan penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia dalam Mesyuarat Jemaah YDP/Presiden Majlis Perwakilan Pelajar IPTA Se-Malaysia kali ke-5 yang diadakan. Cadangan ini dibincangkan dengan serius tanpa dipengaruhi oleh  elemen emosi dalam mesyuarat tersebut.

Jadi, kami mengambil kata sepakat untuk menghantar kertas cadangan Parlimen Mahasiswa Malaysia kepada kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dipertimbangkan cadangan ini. Secara asasnya, sruktur Parlimen Mahasiswa Malaysia ini akan melibatkan beberapa pihak yang mempunyai peranan atau fungsi yang khusus.Pertama, Yang Dipertua-Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar dari IPTA akan dilibatkan sebagai ahli dalam Parlimen Mahasiswa Malaysia kerana mereka adalah pemimpin utama mahasiswa  di setiap universiti masing-masing.Walaubagaimanapun, Yang Dipertua-Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar dari IPTS juga akan dilibatkan sebagai mewakili mahasiswa dari IPTS. Selain itu, ahli Majlis Siswi Nasional (MASISNA) setiap universiti juga akan diberikan tempat sebagai ahli dalam Parlimen Mahasiswa Malaysia tersebut.Kami juga melihat kepentingan setiap Pengerusi Anak-ank Negeri Kebangsaan untuk terlibat dalam Parlimen Mahasiswa Malaysia bagi mengukuhkan suara mahasiswa melalui Parlimen Mahasiswa Malaysia.

Pada 17hb Januari 2011 di PICC, dalam Amanat Tahun Baru Kementerian Pengajian Tinggi 2011, YB Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyatakan bahawa beliau menggalakkan penubuhan Parlimen Mahasiswa di setiap IPT terlebih dahulu seperti Universiti Sains Malaysia sebelum dilakukan di peringkat kebangsaan.Ini adalah tanda-tanda positif daripada pihak kerajaan dalam mengiktiraf suara mahasiswa dan juga menunjukkan sifat keterbukaan pihak kerajaan dalam mendengar cadangan mahasiswa. Saya secara peribadi ingin menyeru supaya mahasiswa dan juga pihak universiti di IPT masing-masing untuk menyahut seruan YB Menteri Pengajian Tinggi dalam menubuhkan Parlimen Mahasiswa di IPT masing-masing.

Pihak univerisiti perlulah memberikan peluang ini kepada mahasiswa untuk menubuhkan parlimen mahasiswa di setiap IPT masing-masing.Sifat keterbukaan pihak universiti sangat diperlukan dalam penubuhan parlimen mahasiswa kerana pihak universiti tidak perlu takut dengan kewujudan parlimen mahasiswa ini keranakita perlu ingat bahawa YAB Perdana Menteri pernah berkata "Zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir".Di pihak mahasiswa pula, kita perlulah menggunakan platform ini sebaik-baiknya, janganlah melibatkan unsur-unsur politik dan emosi dalam perbahasan dalam parlimen mahasiswa ini.Jika kita ingin orang menghormati kita sebagai golongan intelektual, kita perlulah menunjukkan kematangan tinggi dalam menangani sesuatu isu kerana menggunakan  jalan raya adalah platform yang kurang sesuai dengan golongan mahasiswa.

Kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini pastinya tidak akan bercanggah dengan fungsi atau peranan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan(MPPK) , Jemaah Yang Dipertua/Presiden MPP Se-Malaysia dan juga Majlis Siswi Nasional(MASISNA). Hal ini kerana setiap satunya mempunyai asas yang berbeza antara satu sama lain dan entiti-entiti ini masih relevan dan mempunyai peranan khusus masing-masing.

Diharapkan kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia pada suatu hari akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai kualiti tinggi, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan; serta yang paling penting dan yang paling penting ialah sebagai satu pengiktirafan suara mahasiswa dalam penggubalan dasar-dasar universiti dan negara.

Sesungguhnya, satu transformasi perlu dilakukan ke atas kerangka politik mahasiswa yang masih dibelenggu dengan pemikiran dan tindakan yang tidak menggambarkan mahasiswa sebagai golongan intelektual perlulah dilakukan. Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA Se-Malaysia melihat kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia sebagai satu kaedah yang lebih tepat dengan mahasiswa sebagai golongan intelektual.Biarkan Parlimen Mahasiswa ini menjadi satu platform perbincangan mengenai keadaan politik,ekonomi dan sosial dalam negara selain isu-isu mahasiswa.

Tetapi penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini memerlukan usaha dan kerjasama daripada semua pihak termasuklah mahasiswa, pihak universiti , Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Kerajaan Malaysia dalam memastikan penubuhan parlimen ini berjaya.Kita tidak perlu berbicara tentang transformasi dan perubahan jika kita tidak berani untuk mengambil tindakan dalam mengubah sesuatu perkara. Mahasiswa perlulah bersatu hati dan bersama-sama dalam satu gerakan tanpa dipengaruhi sentimen politik dan emosi  dalam memastikan penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini berjaya.

"Mahasiswa Bersatu Demi Malaysia"

Ahmad Wafi Bin Sahedan (YDP MPPUSM)
Pengerusi
Jemaah Yang Dipertua/Presiden 
Majlis Perwakilan Pelajar SeMalaysia.

Amanat YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin

Bersempena dengan tahun baru 2011, YB Dato' Seri Menteri Pengajian Tinggi telah menyampaikan amanat beliau di PICC tempoh hari. Berikut merupakan ringkasan amanat beliau:


1 AMANAT
8 AGENDA
63 PERNYATAAN DASAR, INISIATIF DAN PERUBAHAN STRUKTURAL

PERNYATAAN DASAR, INISIATIF DAN PERUBAHAN STRUKTURAL DALAM AMANAT TAHUN BAHARU 2011

1. REJUVENASI BUDAYA AKADEMIA SEBENAR
1.1 Universiti sebagai Medan Perdebatan Idea dan Pemikiran
1.2 Budaya Kecemerlangan
1.3 Budaya Kerja Berkumpulan
1.4 Menguruskan Bakat Dalam Universiti
1.5 Terbuka Soal Peralihan Kuasa Kepemimpinan (Succession Plan)
1.6 Nilai dalam Perbelanjaan
1.7 Naib Canselor dan Kepimpinan Akademik
1.8 Berani Melakukan Perubahan
1.9 Bersifat Antarabangsa
1.10 Pengukuran Pencapaian 3R (Relevant, Referred, Respected)
1.11 Pembangunan Niche Area
1.12 Kualiti Tenaga Akademik
1.13 Pelancaran Garis Panduan Integriti Akademik IPT

2. UNIVERSITI DAN KESEJAGATAN
2.1 Projek Agenda Kritikal (Critical Agenda Project-CAP) ke 23
2.2 Mobiliti Ahli Akademik

3. PENEKANAN BERTERUSAN DAN PEMBUDAYAAN KUALITI
3.1 Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi
3.2 Pelan Pembangunan Modal Insan ICT
3.3 Pelan Pelaksanaan Autonomi IPTA
3.4 Kerangka MQF Secara Penuh
3.5 SETARA 2011
3.6 D’SETARA
3.7 MyQUEST
3.8 Sistem Penarafan Politeknik –PolyRate
3.9 Rekayasa AKePT

4. MENGUPAYAKAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI
4.1 Pengagihan Dana Penyelidikan Strategik
4.2 Meningkatkan Output Penyelidik dalam Negara
4.3 Pemindahan Jaringan Penyelidikan Pendidikan Malaysia atau Malaysian Research Education Network (MYREN)
4.4 Memberi Nafas Baharu kepada Aktiviti Pengkomersilan Hasil-hasil R&D dari IPT
4.5 Menubukan Pusat Sitasi Malaysia (PSM)
4.6 Mewujudkan Empat Geran Baharu Prototype Research Grant Scheme (PRGS)
4.7 Memantapkan Keupayaan Penyelidikan IPTA-IPTS
4.8 Memperkenalkan Tujuh (7) Platform Penyelidikan Berimpak Tinggi;
4.9 Penyelidikan Sains Sosial dan Kemanusiaan Berimpak Tinggi
4.10 Menggalakkan dan membangunkan niche negara dalam Pelaksanaan RnD melalui Penubuhan dan Konsortium yang Menggembleng Semua Tenaga Pakar IPT;
4.11 Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi Negara (HiCOE) untuk Menerajui Kluster dan Tema Penyelidikan Tujahan Besar
4.12 Satu (1) COE untuk MTUN
4.13 Phd Industri dan Hubungan Akademia-Industri
4.14 Cuti Sabatikal yang Menarik
4.15 Pendidikan Keusahawanan

5. MEMIMPIN PENGANTARABANGSAAN
5.1 Education Malaysia
5.2 Peningkatan pelajar-pelajar antarabangsa sebanyak 13.5% setahun
5.3 Pasaran Baharu Pelajar-pelajar Antarabangsa (Kurdistan, Tartastan, Korea Selatan, Turki, Menado dan Chile)
5.4 Penonjolan Empat Bidang Pengajian Taruhan
5.5 Sistem Kalendar Akademik IPT Baharu (Julai ke September)

6. MEMPERKASA KUALITI DAN POTENSI PELAJAR
6.1 Dasar e-Learning
6.2 Penambahan Kredit Pembelajaran Bahasa Inggeris
6.3 Lima (5) Peratus Pelajar-pelajar Antarabangsa di IPTA
6.4 Pengukuhan Fungsi Pusat Kerjaya
6.5 Parlimen Mahasiswa

7. MENANGANI PERUBAHAN EKOSISTEM PENGAJIAN TINGGI NEGARA
7.1 Pengembalian Peranan Asal Enrolmen Baharu MTUN menjelang 2015 (60% teknikal)
7.2 Politeknik sasar 150,000 orang pelajar setahun dan sumbang 680,000 orang tenaga mahir menjelang 2020 (45% daripada jumlah 1.5 juta yang diperlukan).
7.3 Unjuran Politeknik – 11 Politeknik Baharu iaitu penambahan Tiga (3) Politeknik Konvensional, Lapan (8) Politeknik Metro di samping Enam (6) Politeknik yang dinaiktaraf.
7.4 Pembelajaran secara Online and Distance Learning
7.5 Artikulasi Politeknik dengan Universiti
7.6 Program-program Baharu Politeknik Mengikut ETP
7.7 Pembelajaran Modular Sepenuh dan Separuh Masa Kolej Komuniti.
7.8 Program Latihan 1Malaysia
7.9 Graduan Nilai Pasaran Rendah
7.10 Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai Teras ke-3 Pendidikan Negara

8. KESEIMBANGAN KE ARAH KESEMPURNAAN NEGARA BANGSA
8.1 Tunjangan Budaya dan Jati Diri.
8.2 Keseimbangan Pemodenan dan Tradisi
8.3 Memimpin Negara Menyelesaikan Kemelut Bangsa
8.4 Pembinaan Sistem Pendidikan Gabungan Seimbangan antara Sains dan Teknologi, Ekonomi, Ilmu Kemanusiaan dan Alam Sekitar.

-sumber daripada laman web khalednordin.com-

Sunday, January 9, 2011

Sesi Penerangan Kalendar Akademik Baru 2011

Perubahan kalendar akademik IPTA untuk sesi 2011/2012 menjadi topik perbualan hangat nasional apabila mendapat liputan meluas media pada awal Januari ini. Akhbar The Star melaporkan kekeliruan yang berlaku dalam kalangan mahasiswa kerana masih ramai yang tidak mendapat gambaran sebenar.

Oleh yang demikian, Jemaah YDP MPP mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak KPT sendiri. Timbalan Pengerusi Jemaah YDP MPP, Sdr Zaki menghantar emel kepada pihak KPT dan akhirnya satu pertemuan susulan telah dirancang pada Jumaat 7 Januari 2011 bertempat di hotel Pan Pacific KLIA

Antara input untuk perkongsian bersama:

> Pihak KPT mengambil langkah ini sebagai permulaan fasa ke-2 Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan antarabangsa

> Perubahan ini telah dibincangkan dan dikaji sejak setahun yang lepas. Beberapa siri mesyuarat telah diadakan yang melibatkan Naib Canselor IPTA serta beberapa agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).

> Untuk mengisi kekosongan cuti tersebut, satu kerjasama yang melibatkan kolej komuniti seluruh negara dirancang. Para mahasiswa boleh mengambil kursus pendek dalam pelbagai bidang di kolej komuniti dengan sedikit bayaran.

Maklumat lengkap daripada pertemuan ini seterusnya akan diterangkan kepada mahasiswa di universiti masing-masing melalui MPP.

Mesyuarat Jemaah YDP MPP Bil. 5/2010

Mesyuarat edisi ke-5 untuk Jemaah YDP MPP kali ini diadakan di UTM Skudai, Johor.

Tarikh:   19 Disember 2010
Tempat: Dewan Senat, Bangunan Sultan Ibrahim, UTM
Masa:    8.00 pagi - 2.00 petang

Kehadiran: YDP MPP USM, UTM, UKM, UPSI, UUM, UniSZA, UMS, UNIMAS, UIAM, USIM,
                  UMK,UMP

Agenda:
1. Alu-aluan Pengerusi

2. Pengesahan Minit Mesyuarat Bil. 4/2010

3. Hal-hal Berbangkit

1) Pembentukan Parlimen Mahasiswa Malaysia
Cadangan dan perkara berkaitan Parlimen Mahasiswa ini turut dibincangkan seperti fungsi Parlimen Mahasiswa, keahlian dan sebagainya. Kertas cadangan dihantar kepada YAB Menteri KPT pada awal Januari 2011.

2) Perkara Tertangguh Untuk Dilaksanakan Pada Sesi Hadapan
Dalam mesyuarat kali ini, terdapat 4 perkara yang dibincangkan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan. Antaranya ialah tugasan Jemaah YDP perlu didokumentasikan untuk menjadi rujukan Jemaah YDP akan datang. Beberapa kelemahan MPPK juga turut dibincangkan untuk penambahbaikan seperti peranan, masa, dan tarikh MPPK dijalankan.

Konvensyen MPP juga turut disentuh kali ini. Jemaah berpendapat agar Konvensyen MPP seharusnya menjadi platform untuk membincangkan perkara yang lebih relevan dengan mahasiswa. Hal seterusnya ialah Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) yang perlu diperhalusi objektif serta perlaksanaannya.

3) Penyerahan Tugas Jemaah YDP
Mesyuarat bersetuju agar satu sesi penyerahan tugas Jemaah YDP dilaksanakan pada sesi akan datang.

4) Isu Pengambilan Sesi Pelajar Baru 2011
Sidang berbincang tentang kesan-kesan negatif yang akan timbul akibat cuti yang terlalu lama sehingga September 2011. Satu perjumpaan dengan pihak KPT dicadangkan bagi mengatasi isu ini.

5) Pilihanraya Kampus (PRK)
Tarikh Pilihanraya Kampus yang masih tidak diketahui menjadi persoalan bagi Jemaah YDP. Sidang bersetuju untuk memohon kepada pihak KPT agar PRK diadakan pada awal Februari 2011.

6) Peranan MPP Dalam Dasar Kerajaan
Suara mahasiswa jarang sekali kedengaran untuk menyentuh dasar-dasar kerajaan. Oleh sebab itu, sidang kali ini memutuskan agar setiap universiti harus memainkan peranan menulis artikel kepada pihak media sebagai saluran suara mahasiswa. Setiap IPTA telah mengambil peranan untuk memantau dasar kerajaan iaitu National Key Economic Area (NKEA).

7) Pandangan MPP Terhadap Kenaikan Harga Barang
Harga barang sememangya topik hangat dalam kalangan masyarakat sebagai contoh kenaikan harga gula sebanyak dua kali. Sidang mengambil keputusan untuk mendapatkan respon daripada Datuk Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

4. Hal-hal Lain

Dalam sesi mesyuarat kali ini, ahli Jemaah YDP MPP diperingatkan agar menambah keterlibatan dalam isu semasa negara dan menyatakan pendirian masing-masing. Dokumentasi isu sepanjang 2010 juga harus dilakukan sebagai rujukan.

Selain itu, sidang dimaklumkan tentang permasalahan di Sabah dan Sarawak yang perlu diambil perhatian serius seperti kekurangan bekalan air bersih. YDP MPP UniSZA, UNIMAS, dan Pemangku YDP UMS akan mengambil inisiatif untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk menjelaskan situasi di Kampung Salak, Sarawak dan Sabah.

Mesyuarat seterusnya akan bersidang kembali di UNIMAS.

5. Penutup

Saturday, January 1, 2011

Mahasiswa Tahun 2010 dan Azam Baru tahun 2011


                        Kita melangkah masuk ke Tahun 2011 dengan satu harapan baru dan kita tinggalkan Tahun 2010 dengan pelbagai peristiwa manis dan pahit yang mungkin kita tidak dapat lupakan. Sebagai seorang yang telah berkecimpung dalam kepimpinan mahasiswa sejak dari tahun 1 sehinggalah tahun 3 iaitu tahun akhir, saya melihat tahun 2010 sebagai tahun yang sangat mencabar bagi saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Dalam tahun 2010, pelbagai peristiwa yang manis dan pahit telah melanda diri saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa.
                         Sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM sidang akademik 2009/2010, saya dan sahabat-sahabat MPP yang lain telah bersama-sama dalam memastikan dua aspek yang berkaitan dengan mahasiswa berjalan dengan lancar iaitu kebajikan mahasiswa dan juga program-program universiti. Pelbagai perkara yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa telah berjaya diselesaikan seperti isu buku teks, isu kafeteria dan ada juga yang sedang menanti untuk diselesaikan.
                  
                        Program-program universiti yang telah diadakan ialah seperti Karnival Tahun Baru Cina, sesi penerangan Model Baru Ekonomi (MBE) oleh VC, National Research and Innovation Competition (NRIC), Kempen Tangisan Jiwa, CONVEX, program solat hajat perdana sempena peperiksaan dan lain-lain lagi. Parlimen mahasiswa USM juga bersidang buat kali pertama dalam sejarah pada bulan Oktober 2010.
                       
                             Selain itu, saya juga telah terlibat dalam pembentukkan beberapa sekretariat. Pertama adalah Majlis YDP-YDP Majlis Penghuni Desasiswa(MPD)  yang mana  menggabungkan YDP setiap MPD dalam majlis ini an dipengerusikan oleh saudara Idzuan.Ini adalah usaha MPP untuk memastikan MPD bersama-sama dengan MPP dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa di desasiswa. Selain itu, pembentukkan Sekretariat Anak-Anak Negeri yang menggabungkan semua anak-anak negeri  juga berperanan dalam menjaga kebajikan mahasiswa dari negeri masing-masing.Ia telah dipengerusikan oleh saudara Akif. Pembentukkan Sekretariat Persatuan Pusat Pengajian adalah langkah yang diambil oleh pihak MPP dalam memastikan akademik mahasiswa dalam keadaan cemerlang dan dipengerusikan oleh saudara Faris Hakim.Ketiga-tiga sekretariat ini bukanlah berada di bawah MPP tapi bersama MPP dalam melancarkan kebajikan mahasiswa.

                        Di peringkat kebangsaan, saya telah dipilih untuk menjadi Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan juga Pengerusi Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA Malaysia bagi sidang akademik 2010/2011.Ini bukanlah satu tugas yang mudah kerana amanah ini sangat berat untuk dipikul tetapi atas sokongan sahabat-sahabat YDP/Presiden,saya dan sahabat-sahabat tetap teguh berdiri. Walaupun ramai pihak menganggap kami sebagai lesu hakikatnya kami bukanlah lesu seperti yang diperkatakan, kami tetap terus berjuang kerana kami sedar berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
                     
                      Pelbagai isu yang telah dihadapi oleh saya dan sahabat-sahabat seperti isu mahasiswa berpolitik, isu kenaikan harga barang sehinggalah isu militan di IPT.
Isu mahasiswa berpolitik adalah isu yang paling panas diperkatakan. Secara peribadi, saya kurang bersetuju penglibatan mahasiswa dalam parti politik pada waktu sekarang ini.Walaupun saya dihentam oleh pihak-pihak tertentu tetapi itu adalah lumrah sebagai seorang pemimpin. Saya dan sahabat-sahabat lain berpendapat kenaikan harga barang ini perlulah dipastikan tidak membebankan golongan terkebawah atau ‘bottom billion’.

                 Selain itu, kami juga membantah tindakan penganjur Islamic Fashion Festival (IFF) di Monaco yang mana dilihat mencemarkan cara pemakaian muslim dan muslimah.Walaubagaimanapun, saya tidaklah membantah penganjuran IFF di mana-mana negara tetapi perlulah mengikuti disiplin yang telah ditetapkan.Ada segelintir pihak mengatakan bahawa IPT adalah tempat merekrut militan, saya secara tegas  membantah tindakan ini yang mana saya lihat tidak ada bukti atau angka yag tepat tentang isu tersebut.

                 Selain itu,  isu pembuangan bayi juga telah menyebabkan saya telah memohon sahabat-sahabat YDP/Presiden untuk mengadakan kempen kesedaran tentang pembuangan bayi di dalam kampus dan juga masyarakat di sekitar luar kampus.Contoh di sebelah zon utara, USM, UNIMAP dan UUM telah bekerjasama untuk mengadakan kempen kesedaran yang dinamakan Kempen Tangisan Jiwa di sekitar Pulau Pinang.

                 Isu Gaza juga menjadi mendapat tumpuan saya dan sahabat-sahabat. Kami sebulat suara untuk mengadakan kutipan derma di setiap universiti bagi mebantu saudara Islam kita yang berada di Gaza.Bantuan ini disalurkan kepada yang memerlukan di Gaza. Isu rusuhan segelintir rakyat Indonesia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga telah menyebabkan saya telah menghantar surat kepada Duta Besar Indonesia di Kuala Lumpur untuk menyatakan bantahan kepada tindakan segelintir rakyat Indonesia yang membakar bendera Malaysia dan melemparkan najis ke dalam kedutaan Malaysia.


                     Saya juga melihat mesyuarat MPPK , Konvesyen MPP dan juga Kursus Pengurusan Organisasi(KPO) perlulah diperbaiki dari segi masa dan juga pengisian tersebut. Mesyuarat Jemaah YDP/Presiden MPP baru-baru ini di UTM,  menetapkan untuk mencadangkan  Parlimen Mahasiswa Malaysia kepada YB Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Noordin untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Kemudian, satu mesyuarat yang khusus perlu diadakan untuk mebincangkan perkara ini.Penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia dapat dilihat sebagai satu transformasi politik mahasiswa
dari takuk lama kepada dimensi baru. Ia akan meluaskan partisipasi mahasiswa dalam membantu kerajaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan mahasiswa.

                       Berakhirnya tahu 2010, pastinya akan mengukir seribu kenangan manis dan pahit dalam diri setiap orang.Pastinya tahun 2010  akan dijadikan pengajaran dan iktibar dan pada tahun 2011 ini dijadikan sebagai tahun untuk mencapai kecemerlangan. Mahasiswa pada hari ini perlulah menjadi satu golongan bebas dan tidak perlu dikongkong oleh mana-mana pihak. Mahasiswa pada hari ini perlulah,rasional, realistik dan juga toleransi.


AHMAD WAFI BIN SAHEDAN                                            1.11.11               1.11am