Saturday, November 20, 2010

Respon terhadap artikel "Mana Mahasiswa Bantu Mangsa Banjir"


Banjir yang melanda di beberapa kawasan di Kedah, Perlis dan Kelantan telah menyebabkan penduduk-penduduk di kawasan tersebut telah mengalami kerugian yang besar tidak kurangnya juga ada keluarga yang telah mengalami kematian ahli keluarga mereka. Banjir besar yang melanda ini adalah antara yang terburuk yang pernah dialami oleh rakyat Malaysia. Pihak kerajaan telah mengambil langkah dengan pantas dan segera dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang berada di Kedah dan Perlis.

Selepas itu, kita dapat melihat ramai pihak yang memberikan bantuan termasuklah Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik. Usaha yang ditunjukkan ini menunjukkan bahawa kita walaupun berbeza ideologi tetapi apabila munculnya isu-isu yang berkaitan dengan kemanusiaan, kita akan bersatu.Tetapi satu persoalan telah ditimbulkan oleh saudara Jabdin Juhat pada artikel beliau dalam Sinar Harian yang bertarikh 18hb November pada muka surat N16  yang bertajuk “Mana Mahasiswa Bantu Mangsa Banjir” (http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8417852.asp ).

Saya begitu terkejut membaca artikel tersebut kerana ia menggambarkan mahasiswa pada hari ini seperti tidak melakukan apa2 terhadap isu-isu semasa yang berlaku di tanah air kita ini. Saya melihat terdapat dua perkara penting dalam artikel ini, yang pertama adalah berkaitan dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan yang kedua adalah berkaitan dengan isu banjir yang melanda kawasan utara baru-baru ini.

Persoalan pertama yang ditimbulkan adalah berkaitan dengan hala tuju Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sekarang. Saya tidak pasti sama ada saudara Jabdin ini  membaca surat khabar ataupunmendapat sumber daripada pemimpin mahasiswa sendiri berkaitan tentang mesyuarat MPPK pada 6hb Ogos 2010 yang telah dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri sendiri iaitu Tan Sri Dato Haji Muhyiddin Yasin. Dalam mesyuarat tersebut terdapat lima kertas kerja yang telah dibentangkan kepada pihak kerajaan untuk pertimbangan iaitu “Siaran Televisyen Sebagai Medium Pembentukan Masyarakat” , "MBE: Satu Transformasi Ketidakbergantungan Mahasiswa" , "Pelan Transformasi Drastik Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Sensitif Dan Cakna Isu-Isu Alam Sekitar" , "Transformasi Pendidikan Tinggi Ke Arah Graduan Berketerampilan" dan "Memperkasakan Program Pertukaran Pelajar - Outbound & Inbound".

Selain itu satu seminar iaitu Seminar Islamisasi Industri Hiburan 1 Malaysia yang berkaitan dengan islamisasi hiburan  tanah air juga telah diadakan  anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Unisza dengan kerjasama MPPK pada bulan Oktober yang lepas. Selain itu, kami juga telah bersetuju untuk melakukan kutipan derma bagi membantu penduduk Palestin dan kutipan derma tersebut diserahkan mengikut universiti masing-masing.  Kami juga ada menyuarakan kepada pihak-pihak kerajaan berkenaan isu-isu PTPTN, 1 Malaysia, Bajet 2011, mahasiswa berpolitik dan lain-lain lagi.Tetapi yang pastinya, apa yang kami lakukan ini bergantung juga kepada media untuk menyiarkan perkara-perkara yang dilakukan oleh kami ini.

Saya dan rakan-rakan pemimpin mahasiswa tersenyum apabila membaca tentang isu banjir dalam artikel tersebut . Dalam artikel tersebut menyatakan bahawa kami mahasiswa seperti tidak melakukan apa-apa untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Untuk pengetahuan semua, beberapa university telah menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis walaupun ada kekangan seperti masih dalam minggu peperiksaan dan pelbagai lagi. Universiti-universiti yang terlibat dalam menghantar sukarelawan-sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa ini seperti USM, UIA, USIM, UUM, Unimap, Uitm, UPM dan beberapa buah universiti lagi.Sebagai contoh Universiti Sains Malaysia telah menghantar sukarelawan seramai 120 orang walaupun masih dalam minggu peperiksaan pada 12-14 November baru-baru ini ke negeri Perlis. Universiti Islam Antarabangsa pula telah menghantar sukarelawan sebanyak dua bas  pada tarikh yang sama  ke kawasan sekitar Jitra dan Alor Star. Adakah ini menunjukkan kami tidak peka dengan keadaan sekeliling?

Saya mewakili kepimpinan mahasiswa berasa begitu terkilan dengan beberapa ayat dalam artikel saudara Jabdin yang memberikan gambaran negatif kepada semua mahasiswa. Pada pandangan saya, peranan media juga penting dalam hali ini. Jika saudara Jabdin mengatakan bahawa kami perlu berbakti supaya masyarakat dan kerajaan menghormati mahasiswa, saya juga ingin mengatakan kepada saudara supaya menghormati mahasiswa sebagai salah satu elemen penting dalam pembangunan negara pada masa hadapan.

Ahmad Wafi Bin Sahedan

Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sidang 2009/2010

Friday, October 22, 2010

Islamic Fashion Festival: Kecuaian Datin Rosmah Amat Dikesali

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam 1Malaysia..

Pada 9 Ogos 2010, satu acara yang dinamakan Islamic Fashion Festival (IFF) Gala Dinner and Fashion Show telah dianjurkan di Monaco Sporting Club di Monte Carlo, Las Vegas. IFF ini dirasmikan oleh Datin Rosmah yang merupakan isteri kepada YAB Perdana Menteri.

Dalam acara ini, pertunjukan fesyen yang kononnya mencerminkan fesyen Islam telah ditonjolkan dengan harapan untuk mengkomersialkan fesyen busana muslimah.

Akan tetapi amat dikesalkan kerana pihak penganjur seakan-akan amat tidak berhati-hati dengan fesyen yang dipamerkan dan menimbulkan fitnah terhadap amalan berpakaian dalam Islam itu sendiri.

Saya fikir dalam festival ini, Datin Rosmah hanyalah seorang perasmi sahaja dan keseluruhan acara festival ini dikendalikan pihak lain seperti Dubai French Fashion daripada University Esmod dan lain-lain yang terlibat.

Sebagai pihak yang prihatin untuk memperkembangkan bidang perniagaan berkaitan busana muslim, Datin Rosmah sepatutnya lebih berhati-hati dan cakna dengan fesyen 'Islamic' yang cuba beliau tonjolkan. Lebih-lebih lagi beliau merupakan wanita pertama Malaysia yang beragama Islam.

Persoalan tatacara berpakaian dalam Islam mempunyai disiplinnya yang tersendiri, tidak sekadar mengenakan kain ke tubuh badan sahaja. Disiplin dan pendefinisian aurat dalam bentuk tampak kulit, bentuk badan dan bertudung menutup rambut merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam mengembangkan fesyen 'Islamic'.

Kecuaian dalam persoalan aurat boleh menimbulkan fitnah terhadap fesyen dan tatacara berpakaian dalam Islam.

Oleh itu, saya Muhammad Zaki bin Omar, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, mewakili Mahasiswa UTM menyatakan kekesalan di atas pencemaran fesyen berpakaian atas nama Islam yang berlaku dalam Islamic Fashion Festival yang baru sahaja berlangsung di Monte Carlo.

Datin Seri Rosmah Mansor sebagai perasmi majlis IFF perlulah tampil ke media untuk memberi penjelasan kepada umat Islam di Malaysia, mengenai pencemaran imej berpakaian wanita Islam dalam IFF. Penjelasan ini amat wajar kerana beliau membawa imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam acara tersebut.

Sekali lagi saya menyatakan kekesalan dan kekecewaan kami di atas tindakan pemimpin kami yang tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu atas nama agama Islam, yang juga merupakan agama rasmi di Malaysia.

Seminar Islamisasi Industri Hiburan 1Malaysia

Hiburan merupakan satu perkara yang indah dan memberi ketenangan kepada pendengar. Dewasa ini hiburan menjadi satu keperluan dalam hidup manusia. Tanpa hiburan, manusia boleh menjadi bosan, hilang arah malahan lebih teruk lagi akan menjadi kurang waras. Di Malaysia, terdapat banyak jenis hiburan yang mana ianya memerlukan masyarakat Malaysia memilihnya dengan tepat. Sekiranya hiburan yang disajikan tidak bersesuaian dengan peringkat umur, maka ianya juga boleh menyumbang kepada nilai-nilai negatif dan akhirnya menyumbang kepada masalah sosial.
Akhir-akhir ini, rancangan realiti televisyen tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Lebih membimbangkan apabila seawal usia kanak-kanak juga tidak terlepas daripada isu ini. Begitu juga drama atau filem tahyul yang semakin hari semakin banyak ditayangkan dikaca televisyen yang mana dikhuatiri akan merosakkan akidah penonton. Atas dasar kesedaran ini, Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA dan Jemaah Yang di-Pertua MPP Malaysia telah merangka Seminar Islamisasi Industri Hiburan 1Malaysia yang mana ianya bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang nilai dan garis panduan syarak dalam industri hiburan disamping menyemai unsur dakwah serta nilai murni melalui hiburan.

Penganjuran seminar ini telah mendapat sokongan dan kerjasama yang erat daripada Bah. Hal Ehwal Pelajar & Alumni UniSZA, Yayasan Islam Terengganu dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Yang dihormati En. Ahmad Fadluldin B. Mohamad, Ketua Pen. Pengarah Pemb. Insan, Yayasan Islam Terengganu.





Dua orang panel yang sangat berpengalaman telah diundang untuk menyampaikan pembentangan kertas kerja. Kertas kerja pertama telah membincangkan berkenaan dengan hiburan kontemporari dan menyentuh serba sedikit berkenaan pandangan syarak terhadap hiburan. Pembentang pertama Al-Fadhil Us. Mohd Faizal Jani (Peg. Hal Ehwal Islam, Pej. Mufti Perak) menegaskan bahawa hiburan yang ada unsur lucah, fitnah, melalaikan adalah haram disisi syarak, manakala nyanyian untuk menimbulkan semangat adalah harus.

Hampir 600 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa IPT dan kakitangan kerajaan tidak melepaskan peluang menyertai seminar ini. Seminar ini dihangatkan lagi apabila seorang seniman tanah air yang telah berkecimpung dalam industri ini lebih 50 tahun membentangkan kertas kerja kedua bertajuk ‘Halatuju Industri Hiburan & Mencari Identiti Bangsa melalui hiburan’ oleh Y.B. Senator Tan Sri Datuk Dr. Jins Samsudin.

Selepas selesai kedua-dua pembentangan, peserta diberi ruang untuk berdialog dengan panel. Banyak soalan yang diajukan oleh peserta disamping tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan bersama ahli panel. Dalam dialog tersebut, Y.B. Tan Sri juga sempat berpesan kepada pengarah filem dewasa ini supaya memberi penekanan yang sensitif terhadap budaya, nilai dan moral dalam pembikinan filem disamping menghormati waktu solat bagi krew muslim. Ini adalah kerana filem yang dihasilkan bukan sahaja ditayangkan di Malaysia bahkan di negara jiran. Sehubungan itu, filem yang dihasilkan mestilah kaya dengan budaya dan nilai masyarakat Malaysia.



Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang dihormati Pn. Hjh. Azizah Bt. Endut, Dekan Fakulti Bahasa & Komunikasi UniSZA. Dalam ucapan perasmian, Pn. Hjh Azizah juga telah mengatakan bahawa penganjuran seminar ini adalah bertepatan pada era globalisasi yang memerlukan kita untuk memahami dan meneliti setiap hiburan yang dihasilkan supaya tidak dipengaruhi oleh budaya luar yang berhibur tanpa ada had dan sempadannya. Tambahan pula, ini adalah penting bagi membetulkan tanggapan masyarakat umat islam khususnya yang beranggapan bahawa islam tidak membenarkan umatnya berhibur. Tambah beliau lagi, penganjuran seminar ini dilihat merupakan pencetus kepada evolusi baru industri hiburan supaya setiap penghasilan seni hiburan kita sentiasa berpaksikan kepada nilai jati diri dan keagamaan. Semoga dengan penganjuran seminar ini dapat membuka minda masyarakat Malaysia khususnya mahasiswa dalam memilih hiburan dan hiburan yang dipilih adalah bersesuaian dengan perkembangan mahasiswa dan tidak terpengaruh dengan nilai negatif. “berhibur tiada salahnya kerana hiburan itu indah, hanya apabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah”.

Thursday, October 21, 2010

POLITIK BARU MAHASISWA KINI


Parlimen Mahasiswa USM atau lebih dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar yang akan diadakan pada 23 hb Oktober 2010 telah mendapat perhatian oleh pelbagai pihak kerana ia adalah satu-satunya parlimen mahasiswa yang akan diadakan buat pertama kali di Malaysia. Percubaan Parlimen Mahasiswa USM yang diadakan pada 25 hb September 2010 telah berjaya  mencapai objektifnya dan kini menunggu giliran untuk persidangan rasmi pada 23 hb Oktober 2010.

Parlimen mahasiswa USM terdiri daripada 58 ahli parlimen di mana 39 adalah exco Majlis Perwakilan Pelajar dan 19 ahli parlimen terdiri daripada pemimpin persatuan pelajar yang dipilih dalam kalangan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar. Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar USM secara automatik menjadi setiausaha Parlimen Mahasiswa USM seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Universiti.

Parlimen Mahasiswa USM ini mempunyai peraturan atau  undang-undang tersendiri yang telah dicadangkan oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa  dalam bengkel pembentukkan Parlimen Mahasiswa USM pada awal tahun ini. Peraturan-peraturan dalam parlimen ini adalah berkaitan dengan cara atau kaedah yang digunakan  semasa parlimen bersidang.
Keistimewaan Parlimen Mahasiswa USM ini dapat kita lihat jika kita bandingkan Parlimen Mahasiswa USM dengan Parlimen Malaysia . Pertama, pemerhati-pemerhati yang berada dalam Parlimen Mahaiswa USM boleh mengambil bahagian dalam perbahasan  semasa sesuatu isu sedang dibahaskan oleh ahli ahli dewan dengan kebenaran speaker. Kedua , dalam parlimen mahasiswa ini, tidak ada istilah pihak kerajaan atau pembangkang, semuanya berbincang atas kapasiti sebagai seorang pemimpin mahasiswa.
Berbeza dengan Parlimen Malaysia, kita mempunyai pihak kerajaan dan pihak pembangkang dalam parlimen.

Ramai yang mempertikaikan tentang kuasa yang ada pada parlimen mahasiswa ini, sehinggalah ada segelintir pihak mempertikaikan bahawa parlimen ini hanyalah sesuatu yang tidak berguna. Perlu diingatkan bahawa setiap binaan yang wujud memerlukan asas yang kukuh. Biarlah parlimen mahasiswa ini menjadi satu tapak permulaan bagi menaikkan roh suara mahasiswa supaya didengari oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan. Usaha ini adalah satu permulaan bagi memastikan mahasiswa pada hari ini melangkah ke hadapan sebagai membuktikan bahawa mahasiswa pada hari ini tidak lesu seperti tanggapan sesetengah pihak terhadap mahasiswa.

Pada pandangan saya, seharusnya negara kita juga mempunyai sebuah  Parlimen Mahasiswa Malaysia sebagaimana yang telah dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia. Jika dilihat di beberapa buah negara seperti Pakistan, India, United Kingdom dan beberapa buah lagi negara, mereka mempunyai sebuah parlimen belia yang berfungsi menasihatkan pihak kerajaan dalam perkara-perkara berkaitan belia. Kewujudan parlimen mahasiswa Malaysia ini sangat penting kerana  bak kata Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak “zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir”.

Parlimen Mahasiswa Malaysia ini boleh dilihat sebagai “Third Force” dalam negara kerana ia bakal mencorakkan politik baru dalam negara kerana partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara akan dapat dilihat melaluinya.Pastinya akan timbul pelbagai perkara apabila idea ini dilontarkan iaitu siapakah ahli-ahlinya? Bagaimanakah  perjalanan parlimen mahasiswa Malaysia ini? dan pelbagai lagi.Bagi saya  semua itu adalah persoalan kedua, persoalan pertama adalah apakah matlamat yang ingin dicapai daripada penubuhan parlimen Mahasiswa Malaysia ini? Sudah tentunya adalah untuk memastikan partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara.

Saya melihat ini adalah salah satu alternatif yang boleh diwujudkan jika ingin melihat partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara, bukannya dengan hanya membenarkan mahasiswa menyertai parti politik boleh  memastikan partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara. Ini adalah idea yang saya lihat dapat memastikan partisipasi mahasiswa dalam  agenda pembangunan negara. Pada hari ini mahasiswa sudah pun mempunyai platform Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, tetapi peredaran masa sentiasa akan menyebabkan perubahan akan berlaku.

Selain itu, jika kita lihat pada hari ini, jawatan senator diberikan kepada orang yang mempunyai kepentingan dalam suatu organisasi atau lapisan masyarakat. Jadi seharusnya pemimpin mahasiswa juga diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai senator tetapi seperti mana yang kita tahu terdapat beberapa syarat yang membataskan penglibatan mahasiswa sebagai senator terutamanya dari segi umur. Sebenarnya idea ini adalah daripada Tunku Abdul Rahman yang pernah mencadangkan supaya satu atau dua kerusi diperuntukkan kepada mahasiswa dalam perbahasan di Parlimen negara. Artikel ini ditulis pada 30 Disember 1974, kira-kira 36 tahun dahulu. Cadangan ini jelas menunjukkan beliau sangat menghormati dan melayani mahasiswa sebagai orang dewasa dan bukannya seperti kanak-kanak yang sentiasa diragui kewibawaannya.

Partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara bukanlah dengan hanya melihat penglibatan mahasiswa dengan parti politik tetapi boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lagi.Ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Mahasiswa pada hari ini berpeganglah dengan kata-kata “ Jangan tanyakan pada negara apa yang negara berikan pada kamu, tanyakan pada diri kamu, apa yang kamu berikan pada negara “.

Mahasiswa pada hari ini seharusnya berdiri atas platform mahasiswa bukannya diperkudakan dan digunakan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan masing-masing.

AHMAD WAFI BIN SAHEDAN 
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2009/2010

Mesyuarat Jemaah YDP MPP Bil. 4/2010

harap maaf kepada pengunjung blog ini. saya tidak dapat untuk paparkan minit mesyuarat sebenar kerana sedikit masalah. Berikut merupakan catatan ringkas berkenaan mesyuarat tersebut:

Tarikh : 25 September 2010
Tempat : Universiti Malaysia Sabah


Mesyuarat MPP (MASISNA)
Agenda:
            1. Ucapan aluan pengerusi
            2. MASISNA - status & permasalahan
                             - perdebatan & cadangan
            3. Hal kampus & mahasiswa
            4. Penangguhan masyuarat
Hasil Mesyuarat
i) MASISNA (Majlis Siswi Nasional)
   Sejarah MASISNA
   - Diasaskan oleh mantan MPMUM pada sesi 2008/2009
   - Ketika itu UM mengadakan FEMINA (Festival Mahasiswi Nasional) & telah menjemput Datuk Shahrizat
     untuk merasmikan majlis penutup festival tersebut.
   - Mantan MPMUM telah mencadangkan kepada Datuk Shahrizat untuk menubuhkan MASISNA
     & diletakkan di bawah KPT
   - Kini status MASISNA masih tergantung (sama ada terletak di bawah KPT @ Kementerian 
     Pembangunan Wanita). Setelah beberapa perbincangan, MASISNA diputuskan untuk diletakkan di
     bawah ISM (Institut Sosial Malaysia).
    Kini MPP siswi sesi 2009/2010 akan menggerakkan kembali MASISNA. Terdapat 4 jawatankuasa
    tertinggi yang telah dilantik pada mesyuarat tersebut.
          Pengerusi        : Zuraini Zambri (UPSI)
          Tim. Pengerusi : Nur Nazihah (UniMAP)
          Setiausaha      : Hayati (UTM)
          Bendahari        : Ili Aishah (UniSZa)
ii) Hal kampus & mahasiswa (sekadar point sahaja - xdapat nak beri maklumat lengkap sbb isinya
    panjang)
    - Penggerak Jemaah Islamiah (JI) di universiti. (Bagaimana untuk mengenal pasti identiti?)
    - Sistem merit di universiti (sejauh mana sumbangan mahasiswa kpd universiti)
    - Isu umur saraan (pekerja) adalah pd umur 60 tahun, apa pandangan mahasiswa.
    - USM -- Majlis Parlimen Mahasiswa
    - Keterlibatan pelajar dalam memberi pandangan di dalam mesyuarat universiti (Senat @ sebagainya)
    - isu bayar PTPTN dengan potongan gaji. Wajar @ tidak?
    - Resolusi mesyuarat MPP
Sekian, terima kasih.

ISU CUEPACS


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Perkhidmatan Awam atau ringkasnya Cuepacs telah mencadangkan kepada kerajaan supaya usia persaraan dinaikkan dari 58 tahun pada masa ini kepada 60 tahun kerana kata mereka di negara-negara lain umur persaraan kebanyakkanya 60 tahun, jadi Malaysia pun perlu mengambil mereka sebagai contoh.

Ini bukan kali pertama Cuepacs mencadangkan umur bersara dinaikkan, malah umur bersara yang baru dinaikkan baru-baru ini pun ianya dicadangkan oleh Cuepacs. Saya mewakili suara mahasiswa  tidak bersetuju dengan cadangan Cuepacs tersebut kerana ianya akan memberi impak yang sangat besar kepada negara kita.

Pertama sekali, sekiranya umur bersara dinaikkan dari 58 tahun ke 60 tahun, besar kemungkinan kadar pengganguran dalam kalangan mahasiswa di dalam negara semakin bertambah, ia sesuatu yang tidak elok untuk ekonomi negara kita. Cuba bayangkan had umur bersara 58 tahun pun kadar pengangguran masih tinggi, inikan pula dilanjutkan sehingga 60 tahun. Saya  merasakan cadangan Cuepacs ini tidak praktikal.

Apabila kadar pengangguran tinggi ia dikhuatiri mendatangkan masalah lain seperti peningkatan kes-kes jenayah berdasarkan teori pengangguran akan menggangu ekonomi negara dan sepertimana kata kebanyakkan pakar ekonomi "If Economy Go Down, Crime Go UP". Secara tidak langsung jika cadangan Cuepacs ini dilaksanakan ia akan mengundang peningkatan kes jenayah.

Tambahan pula, mengikut tahap-tahap kehidupan berdasarkan ilmu Psikologi umur 55 tahun ke atas sudah hilang motivasi dirinya dan juga semangat kerja juga akan berkurangan. Kerja secara acuh dan tak acuh mula menjadi pilihan pada waktu umur ini atau dalam bahasa yang lebih mudah, biasanya pekerja di dalam lingkungan umur ini akan dijangkiti sindrom 'Malas Bekerja'. Ini bermakna Kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukkan wang rakyat untuk pekerja yang kurang kualiti kerjanya.

Kepada Cuepacs saya mewakili mahasiswa  ingin menyatakan jangan hanya pandai mengeluarkan cadangan tanpa berfikir apa implikasinya terhadap orang-orang yang berada di luar daripada kongres itu contohnya siswazah-siswazah yang masih ramai menganggur. Biarlah usia persaraan adalah hanya pada umur 58 tahun.
Jadi lagi sekali, saya mewakili suara mahasiswa membantah cadangan yang dikeluarkan oleh Cuepacs yang ingin melanjutkan usia persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun atas kepentingan mahasiswa pada hari ini dan pada masa hadapan.

Ahmad Wafi Bin Sahedan
Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
Sidang 2009/2010

Sunday, August 29, 2010

Majlis Berbuka Puasa Bersama PM

Kalau sebut pasal makan, semua laju. Jadi tidak hairanlah gambar-gambar sorotan ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama PM di Seri Perdana ini penuh dengan muka-muka ceria. Makan free katekan...













Terima kasih daun keladi Dato' Seri. Semoga kami dapat ke Seri Perdana lagi.

Berita Harian Online | Mahasiswa berpolitik

Di bawah merupakan komen mengenai mahasiswa berpolitk yang ditulis di dalam Berita Harian. Harap bermanfaat.


Berita Harian Online | Mahasiswa berpolitik

Mesyuarat Jemaah YDP MPP Bil. 3/2010

Buat kali ke-3 Jemaah YDP MPP SeMalaysia bermesyuarat untuk membincangkan hal ehwal mahasiswa tanah air dan isu semasa yang sedang berlaku. Kali ini, isu mahasiswa berpolitik manjadi tumpuan memandangkan mesyuarat ini berlangsung serentak dengan Konvensyen MPP IPTA di tempat yang sama.

Berikut merupakan data ringkas mesyuarat:


Tarikh: 7 Ogos 2010
Tempat: Bilik VIP, ESSET, Bangi
Masa: 8.30 - 10.30 malam

Kehadiran: Semua YDP MPP kecuali YDP UUM, UniMAP dan UTeM
Turut hadir: Bendahari MPP UTeM dan Timbalan Setiausaha MPP UMP


Agenda:
1. Ucapan Aluan Pengerusi Mesyuarat

2. Bacaan Minit Mesyuarat Bil. 2/2010 Oleh Setiausaha Agung

Tiada sebarang pembetulan dilakukan untuk minit yang lepas.

3. Maklumbalas Minit Mesyuarat

1) Pembuangan Bayi Dalam Kalangan Mahasiswa
Program Islamisasi Hiburan Tanah Air yang akan dilaksanakan oleh MPP UniSZA telah diluluskan dan akan dilaksanakan pada 3 Oktober 2010. Peserta dianggarkan 200 orang dan YDP UniSZA turut meminta bantuan MPP UMT untuk penginapan peserta.

2) Data YDP-YDP MPP
Data semua YDP MPP dikumpulkan oleh Setiausaha Agung. Unit Publisiti Jemaah pula bertanggungjawab mengumpulkan gambar, nama, no telefon dan emel Jemaah YDP.

3) Majlis Berbuka Puasa Bersama PM
Majlis yang dijadualkan pada 19 Ogos 2010 tiada perubahan dan akan berjalan seperti biasa.

4) Penyerahan Wang Kutipan Derma Untuk Palestin
Mesyuarat bersetuju kutipan akan diserahkan kepada PM semasa majlis berbuka puasa. NGO yang akan menerima sumbangan adalah Aman Malaysia. Kutipan tersebut adalah gabungan daripada USM, UPSI, UMS, USIM, UTM, UTHM, UMK, UniSZA, UNIMAS, UMP.

4. Isu Mahasiswa Dan Politik
Pada mesyuarat kali ini, sidang dijelaskan bahawa penglibatan mahasiswa di dalam politik yang dimaksudkan oleh YB Dato' Saifuddin ialah mahasiswa dibenarkan untuk menjadi ahli parti politik. Perkara ini masih perlukan perbahasan dan kajian terperinci sekiranya ia benar-benar ingin dilaksanakan. Pun begitu, realitinya di kampus, pengaruh parti politik sedikit sebanyak masuk melalui program masyarakat yang dijalankan.


Jemaah YDP kali ini juga bersepakat bahawa mahasiswa seharusnya dibenarkan untuk menghadiri ceramah politik untuk maklumat dan kesedaran berkenaan isu politik semasa. Mahasiswa juga sepatutnya dibenarkan membuat pilihan untuk berparti tetapi harus diingat juga bahawa kebebasan itu perlu disertai dengan kematangan membuat keputusan.

1) Resolusi Mahasiswa Berpolitik
Semasa Konvensyen MPP berlangsung, satu kajian ringkas telah dibuat untuk mengetahui pendirian MPP yang hadir. Daripada sejumlah 335 orang mahasiswa terlibat, 191 orang bersetuju, 128 tidak bersetuju, dan 16 orang lagi kurang pasti.


2) Pegangan YDP SeMalaysia
Daripada 17 orang yang hadir, 4 menyatakan tidak setuju manakala 13 orang lagi bersetuju agar mahasiswa dibenarkan terlibat menjadi ahli parti politik. Akan tetapi, kajian dan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat hendaklah diadakan lebih lanjut.


5. Hal-hal Berbangkit
Mesyuarat seterusnya akan diadakan di UMS pada 25 September 2010.

6. Mesyuarat Ditangguhkan

Thursday, August 26, 2010

Konvensyen MPP IPTA 2010

Akhirnya yang ditunggu telah tiba, keluarga MPP IPTA seluruh Malaysia dapat berhimpun beramai-ramai di Konvensyen MPP IPTA pada 6-8 Ogos yang lepas. Pelbagai isu dan topik dibincangkan sesama MPP termasuklah isu mahasiswa berpolitik yang menjadi tumpuan hangat kali ini. Melalui konvensyen ini, MPP yang hadir bertukar-tukar pandangan dan berbincang agar kepimpinan di kampus masing-masing dapat diperkukuhkan untuk kebaikan mahasiswa.

RESOLUSI KONVENSYEN MPP IPTA 2010

Model Baru Ekonomi
  • Mahasiswa perlu lebih kompetetif menerusi penerapan nilai keusahawanan dalam diri
  • Mahasiswa perlu ada kekuatan bagi memasarkan diri di sektor swasta dan global
  • Kaedah aplikasi MBE yang lebih terbuka dan mudah difahami masyarakat
Kefahaman Mahasiswa Mengenai Konsep 1Malaysia
  • Perlukan gabungan kelab dan persatuan di universiti
  • Penyerapan gerak kerja kesatuan pemikiran dan tindakan
  • MPP sebagai agen terpenting perpaduan
  • MPP selaku penghebah dan penerang bagi konsep 1Malaysia
Kebebasan Bersuara
  • Mahasiswa perlu bebas daripada mana-mana pihak
  • Benarkan mahasiswa berpolitik dengan cara segar dan sihat
Rumusan
  • Konsep 1Malaysia dalam konteks negara bangsa perlu diterapkan menerusi sistem pendidikan di peringkat awal
  • Mahasiswa perlu terbabit dalam politik demi keperluan pembangunan mahasiswa sendiri dan pembentukan dasar negara

Tuesday, August 24, 2010

Pra-MPPK dan Mesyuarat MPPK Bil. 1/2010

Tanggal 4-6 Ogos 2010 yang lepas, satu detik manis dirakamkan bagi kepimpinan mahasiswa seluruh negara.
Tarikh tersebut menyaksikan ahli-ahli pimpinan bagi mahasiswa yang datangnya daripada IPTA dan IPTS seluruh negara berhimpun untuk menghadiri Pra-Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di ESSET, BANGI dan Mesyuarat MPPK di PICC. Sepanjang 3 hari berada di sana, terlalu banyak input yang diperolehi dan pengalaman baru bagi mahasiswa yang berhimpun. Selain berkenal-kenalan, para pimpinan mahasiswa dapat bertukar-tukar idea bagi menjana kepimpinan yang mantap di kampus masing-masing.



Sedikit mengenai Mesyuarat MPPK
Mesyuarat ini diilhamkan oleh Tun Abdulah Ahmad Badawi ketika zaman beliau menjadi Menteri Pelajaran suatu ketika dahulu. Tujuan mesyuarat ini adalah supaya para pemimpin mahasiswa dapat berkumpul dan bermesyuarat bersama pimpinan tertinggi negara iaitu YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia sendiri.

Di dalam mesyuarat inilah, para pimpinan mahasiswa diberi ruang untuk mengemukakan terus sebarang cadangan yang datangnya daripada mahasiswa sendiri kepada YAB Timbalan Perdana Menteri. Peluang ini amat bermanfaat kepada para mahasiswa untuk menyuarakan pendapat mereka sekaligus membuktikan usaha kerajaan untuk mendengar suara mahasiswa.

Pra-MPPK
Tujuan Pra-MPPK ini diadakan supaya para pimpinan mahasiswa dapat berbincang dan berkumpul terlebih dahulu bagi mendapatkan penjelasan melalui sesi dialog beberapa isu yang dibangkitkan sama ada di dalam MPPK lepas mahupun isu semasa. Para pimpinan mahasiswa yang ada tidak melepaskan peluang ini untuk mengutarakan soalan-soalan yang bernas agar dapat dikongsikan bersama penjelasannya.



Antara isu yang dibangkitkan kali ini ialah PTPTN, akreditasi pengajian, dan yang paling terkini, isu mahasiswa berpolitik. Isu-isu tersebut dibincangkan dan dikupas dengan panjang lebar oleh para panel yang datang. Malah, Pra-MPPK ini diserikan dengan kehadiran YB Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bagi mengupas isu mahasiswa berpolitik yang dicadangkan sendiri oleh beliau di dalam media massa.

MPPK
Pagi Jumaat 6 Ogos 2010. Dengan segala persiapan yang diatur rapi oleh pihak penganjur, Mesyuarat MPPK bermula dengan lancar. YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat dengan kehadiran daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom dan ramai lagi pemimpin negara turut hadir sama.

Sebanyak 5 kertas kerja dibentangkan kali ini oleh USM, USIM, UM, UTP dan UKM. Kertas kerja pertama daripada USIM bertajuk "Siaran Televisyen Sebagai Medium Pembentukan Masyarakat" menekankan kepentingan media siaran televisyen sebagai medium paling berpengaruh untuk menjana masyarakat 1Malaysia yang murni. USM pula menyentuh isu Model Baru Ekonomi dengan tajuk "MBE: Satu Transformasi Ketidakbergantungan Mahasiswa" dengan tujuan agar mahasiswa sendiri dan kerajaan dapat sama-sama melahirkan generasi mahasiswa yang produktif dan berdaya saing terutamanya dari segi keusahawanan.

UTP pula tampil membawakan isu "Pelan Transformasi Drastik Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Sensitif Dan Cakna Isu-Isu Alam Sekitar". Kertas kerja gelombang hijau ini menzahirkan hasrat agar mahasiswa lebih peka dan melestarikan alam sekitar yang semakin tercemar. Seterusnya, UKM membentangkan kertas kerja mereka dengan tajuk "Transformasi Pendidikan Tinggi Ke Arah Graduan Berketerampilan". Isu ini disentuh secara holistik dengan melibatkan aspek sistem pendidikan dan pendidikan keagamaan. Terakhir sekali, UM menyampaikan pembentangan untuk tajuk "Memperkasakan Program Pertukaran Pelajar - Outbound & Inbound". Kesan yang ditonjolkan melalui program ini ialah untuk melahirkan mahasiswa yang berfikiran terbuka dan mampu bersaing di peringkat global.

Penutup
Melalui mesyuarat ini, jelas dapat dilihat bahawa mahasiswa kini sangat aktif dalam memberikan idea sekaligus menyumbang ke arah pembangunan negara amnya dan mahasiswa khususnya. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Pengajian Tinggi yang bertungkus-lumus menjayakan mesyuarat ini. Buat pimpinan mahasiswa semua, ada masa kita berjumpa lagi.

Friday, August 13, 2010

Jangan Ganggu Mahasiswa di Kampus

Utusan Malaysia m/s 10 31 Julai 2010

Mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini telah diberi peluang untuk melibatkan diri dalam kancah politik di universiti masing-masing.Politik yang dimaksudkan ialah politik kampus yang meliputi segala perkara yang berkaitan dengan politik dalam kampus.Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah satu platform yang digunakan oleh mahaiswa/I dalam menceburkan diri mereka dalam dunia politik kampus.Platform ini adalah sesuai digunakan oleh mahasiswa/i dalam membawa idealisme dan agenda perjuangan masing-masing.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ialah salah satu platform yang telah diwujudkan oleh kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa berkaitan dengan isu-isu nasional didengari oleh pihak kerajaan.Selain itu kita juga mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap universiti yang berfungsi memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi universiti masing-masing.

Jadi tidak seharusnya timbul persoalan yang mahasiswa pada hari ini tidak mempunyai platform untuk menyuarakan pandangan atau pendapat mereka. Jika mahasiswa dan mahasiswi menyertai sesebuah parti politik, adakah mereka akan bebas untuk mengkritik kepimpinan parti tersebut?Silap-silap mereka akan digantung keahlian kerana lantang mengkritik kepimpinan parti.

Mahasiswa dan mahasiswi juga tidak akan mempunyai idealisme tersendiri apabila mereka menyertai parti-parti politik kerana kongkongan dasar parti tersebut.Hal ini kerana dasar partilah yang akan membunuh idealisme mahasiswa tersebut.Perkara paling penting yang perlu diingatkan adalah mahsiswa/I adalah golongan yang masih belum menamatkan pengajian mereka.

Hal ini menyebabkan saya yakin dan percaya bahawa apabila mahasiswa/I dibenarkan untuk menyertai parti-parti politik, pengajian mereka di universiti juga akan terganggu dek kerana politik luar ini.

Kemunculan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang sebenarnya melindungi mahasiswa daripada cengkaman parti-parti politik di luar kampus. AUKU yang menyebabkan mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini mempunyai idealisme tersendiri dan juga kita dapat membentuk kepimpinan mahasiswa di kampus mengikut acuan tersendiri tanpa kongkongan parti-parti politik di luar kampus.AUKU juga menjadikan kampus kita selamat dan aman daripada ahli-ahli politik yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperkudakan mahasiswa dan mahasiswi.

Kepada orang dewasa yang berada di luar kampus yang telah berjaya dalam pengajian di universiti dan kehidupan mereka,janganlah cuba mencadangkan idea-idea yang bukan mereka akan tanggung kesannya tapi kami dan generasi akan datang yang akan menanggung kesan baik buruknya. Biarkan kami cemerlang dalam pengajian kami masing-masing dahulu kerana itu adalah harapan setiap ibubapa.

Selepas tamat pengajian, InsyaAllah kami sebagai mahasiswa akan menilai dan memilih parti politik manakah yang akan kami sokong .Tapi berikan kami ruang dan peluang untuk menyiapkan diri kami dalam kampus tanpa gangguan dari luar kampus yang mungkin boleh merosakkan masa depan kami.


Ahmad Wafi Bin Sahedan
Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sidang 2009/2010
Merangkap
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Sidang 2009/2010

Thursday, August 12, 2010

Mesyuarat Jemaah YDP MPP Bil. 2/2010

Sepintas lalu butir-butir mesyuarat kali ini:

Tarikh: 17 Julai 2010
Tempat: Bilik Mesyuarat Kolej Perindu, Kolej Perindu, UiTM Shah Alam
Masa: 10.30 AM - 2.00 PM

Kehadiran: Semua YDP MPP kecuali YDP MPP UPM, UMT, UiTM, UMK, UUM, UPSI.

Agenda:
1. Ucapan Aluan Pengerusi Mesyuarat


2. Bacaan Minit Mesyuarat oleh Setiausaha Agung

Tiada sebarang pembetulan pada minit mesyuarat yang lepas.

3. Maklumbalas Minit Mesyuarat

1) Lesen Perjudian Sempena Bola Sepak Piala Dunia 2010
Surat telah dihantar kepad Kementerian Kewangan dan sedang menunggu jawapan daripada pihak kementerian.

2) Pembuangan Bayi Dalam Kalangan Mahasiswa (Peranan YDP SeMalaysia)
YDP USM telah menghantar artikel ke pihak media berkaitan isu ini. YDP UniSZA pula memaklumkan pihak MPP UniSZA akan mengadakan satu Program Islamisasi Hiburan Tanah Air sebagai langkah untuk mendidik para penggiat seni.

3) Isu Palestin
YDP UM telah menghantar surat kepada pihak JAKIM agar penyelarasan doa khas untuk Palestin setiap kali solat Jumaat.

4) Data-data YDP MPP
Semua data berkaitan YDP MPP Malaysia dihantar kepada YDP UMP dan YDP UTeM bagi proses rujukan.

4. Pengumuman Pengerusi Mesyuarat

1) MPPK akan berlangsung pada 4-6 Ogos di ESSET, Bangi. Sebanyak 5 kertas kerja telah terpilih untuk dibentangkan iaitu kertas kerja daripada USIM, USM, UM, UTP, UKM.

2) Konvensyen MPP IPTA Kebangsaan akan diadakan pada 6-8 Ogos di ESSET, Bangi.

3) Tarikh 19 Ogos dipilih sebagai tarikh bagi Majlis Berbuka Puasa YDP MPP SeMalaysia bersama Perdana Menteri.

5. Isu Berbangkit

1) Skim Bagi Latihan Industri oleh GLC
Kementerian Pengajian Tinggi telah melancarkan Dasar Latihan Industri di mana penekanan diberikan mengikut kursus yang terlibat dan diaharapkan agar mahasiswa dapat memanfaatkan sepenuhnya Latihan Industri untuk menjadi kompeten dan berkemahiran insaniah tinggi.

2) Kebajikan Mahasiswa dalam Latihan Industri
Isu ini merupakan autonomi bagi sesebuah universiti di mana syarikat bermasalah boleh disenaraihitam dan insurans khas boleh diberi kepada mahasiswa.

3) Tarikh & Tempat Mesyuarat Akan Datang
Mesyuarat YDP MPP SeMalaysia yang seterusnya dijadualkan pada 4-6 Ogos sewaktu berlangsungnya MPPK di ESSET, Bangi. YDP UTM memohon sidang agar mesyuarat pada bulan 12 dapat dijalankan di UTM.

4) Wang Kutipan Derma Untuk Palestin
Mesyuarat sebulat suara bersetuju agar wang kutipan derma untuk Palestin diserahkan semasa Majlis Berbuka Puasa bersama YAB Perdana Menteri tetapi NGO yang terlibat untuk penyerahan kutipan masih belum diputuskan.

6. Hal-hal Berbangkit

Isu Dalam Kampus:

1) Sudut Pidato
Sidang bersetuju agar sudut pidato disemarakkan kembali di setiap universiti. Teks bagi sudut pidato pula akan dihantar kepada media. YDP UTM pula akan berkongsi panduan dan pandangan sudut pidato oleh YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

2) Kesan Bajet 2010 Kepada Mahasiswa
PTPTN akan ditukar kepada biasiswa untuk mahasiswa yang cemerlang di universiti. Selain itu, kad diskaun KTMB juga diberikan kepada mahasiswa manakala syarikat TM pula telah menawarkan pakej notebook dan broadband bagi mahasiswa.

Sidang juga turut mencadangkan agar PTPTN diberikan berbeza mengikut kawasan dan jurusan kerana kos sara hidup yang berbeza di setiap tempat.

Isu Semasa:

Sidang meminta agar Pengerusi menulis kenyataan kepada media berkaitan isu kenaikan harga gula dan minyak mewakili pandangan mahasiswa.

7. Penangguhan Mesyuarat


Sedikit gambar buat tatapan semua.....





Monday, July 12, 2010

Pemansuhan PMR dan UPSR

Pandangan guru dan ibu bapa akan dikaji terlebih dulu sebelum peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ini kerana pengambilan pelajar tingkatan empat ke MRSM sebelum ini membabitkan ujian khas manakala pengambilan bagi pelajar tingkatan satu juga akan menggunakan kaedah sama mulai tahun depan.

Cadangan kerajaan memansuhkan UPSR dan PMR yang hangat diperkatakan baru-baru ini mendapat liputan meluas akhbar tempatan. Cadangan yang di buat oleh Menteri Pelajaran Malaysia ini bertujuan untuk mengubah sistem pendidikan di Malaysia yang berorientasikan peperiksaan. Jika dilihat sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan ini telah memberikan impak yang besar pada masyarakat diantaranya ialah ibu bapa, guru, dan para pelajar sendiri hanya mementingkan keputusan peperiksaan tanpa mengambil kira kepentingan ilmu yang dipelajari.

UPSR dan PMR yang telah sekian lama menjadi kayu pengukur untuk menentukan aliran pelajar semasa hendak menaiki sekolah menegah dan dalam sekolah menegah telah sebati dengan masyarakat Malaysia. Justeru, untuk melakukan perubahan ini bukan mudah diterima oleh masyarakat dan sudah pasti mendapat tentangan daripada pelbagai pihak. Namun begitu, ada jugak pihak yang menyokong tindakan ini kerana mengurangkan beban pelajar dan guru.

Sebagai YDP MPP UPSI wakil kepada siswa/I UPSI berpendapat bahawa keseimbangan modal insan Negara tidak dapat dilakukan secara holistik sekiranya sistem berorientasikan peperiksaan ini terus kekal di Malaysia. Tetapi pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR tidak boleh dilakukan dengan secara terburu-buru, pihak kerajaan perlu mengkaji dengan teliti kerana mengubah sistem pendidikan bermakna mengubah generasi Malaysia.

Saya memuji tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang meminta respon daripada masyarakat berkaitan pemansuhan ini. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran iaitu Tan Sri Alimuddin Mohd Dom “Pandangan guru dan ibu bapa akan dikaji terlebih dulu sebelum peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan”. Ini menunjukkan bahawa KPM mengkaji perubahan yang ingin dilakukan ini.

Saya juga berpendapat pemansuhan ini boleh dilakukan sekiranya dilaksanakan secara berperingkat iaitu menjadikan murid darjah 1 sebagai perintis. Selain itu autoriti diberikan kepada sekolah untuk menilai tahap pencapaian pelajar, dan kesahan penilaian itu perlu dipantau oleh KPM. Pemansuhan juga boleh dilakukan sekiranya guru telah disediakan dengan cara pengajaran yang baru dengan sistem pendidikan yang baru. Bagi pelajar yang berumur 7 hingga 12 tahun pula perlu menguasai 3M sebelum melangkah masuk ke sekolah menengah untuk mengelakkan pelajar mengalami masalah pada peringkat menegah. Aktiviti pembelajaran juga perlu mengutamakan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

MOHD RAZIK BIN KHALID
YDP MPP UPSI