Friday, October 22, 2010

Islamic Fashion Festival: Kecuaian Datin Rosmah Amat Dikesali

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam 1Malaysia..

Pada 9 Ogos 2010, satu acara yang dinamakan Islamic Fashion Festival (IFF) Gala Dinner and Fashion Show telah dianjurkan di Monaco Sporting Club di Monte Carlo, Las Vegas. IFF ini dirasmikan oleh Datin Rosmah yang merupakan isteri kepada YAB Perdana Menteri.

Dalam acara ini, pertunjukan fesyen yang kononnya mencerminkan fesyen Islam telah ditonjolkan dengan harapan untuk mengkomersialkan fesyen busana muslimah.

Akan tetapi amat dikesalkan kerana pihak penganjur seakan-akan amat tidak berhati-hati dengan fesyen yang dipamerkan dan menimbulkan fitnah terhadap amalan berpakaian dalam Islam itu sendiri.

Saya fikir dalam festival ini, Datin Rosmah hanyalah seorang perasmi sahaja dan keseluruhan acara festival ini dikendalikan pihak lain seperti Dubai French Fashion daripada University Esmod dan lain-lain yang terlibat.

Sebagai pihak yang prihatin untuk memperkembangkan bidang perniagaan berkaitan busana muslim, Datin Rosmah sepatutnya lebih berhati-hati dan cakna dengan fesyen 'Islamic' yang cuba beliau tonjolkan. Lebih-lebih lagi beliau merupakan wanita pertama Malaysia yang beragama Islam.

Persoalan tatacara berpakaian dalam Islam mempunyai disiplinnya yang tersendiri, tidak sekadar mengenakan kain ke tubuh badan sahaja. Disiplin dan pendefinisian aurat dalam bentuk tampak kulit, bentuk badan dan bertudung menutup rambut merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam mengembangkan fesyen 'Islamic'.

Kecuaian dalam persoalan aurat boleh menimbulkan fitnah terhadap fesyen dan tatacara berpakaian dalam Islam.

Oleh itu, saya Muhammad Zaki bin Omar, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, mewakili Mahasiswa UTM menyatakan kekesalan di atas pencemaran fesyen berpakaian atas nama Islam yang berlaku dalam Islamic Fashion Festival yang baru sahaja berlangsung di Monte Carlo.

Datin Seri Rosmah Mansor sebagai perasmi majlis IFF perlulah tampil ke media untuk memberi penjelasan kepada umat Islam di Malaysia, mengenai pencemaran imej berpakaian wanita Islam dalam IFF. Penjelasan ini amat wajar kerana beliau membawa imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam acara tersebut.

Sekali lagi saya menyatakan kekesalan dan kekecewaan kami di atas tindakan pemimpin kami yang tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu atas nama agama Islam, yang juga merupakan agama rasmi di Malaysia.

Seminar Islamisasi Industri Hiburan 1Malaysia

Hiburan merupakan satu perkara yang indah dan memberi ketenangan kepada pendengar. Dewasa ini hiburan menjadi satu keperluan dalam hidup manusia. Tanpa hiburan, manusia boleh menjadi bosan, hilang arah malahan lebih teruk lagi akan menjadi kurang waras. Di Malaysia, terdapat banyak jenis hiburan yang mana ianya memerlukan masyarakat Malaysia memilihnya dengan tepat. Sekiranya hiburan yang disajikan tidak bersesuaian dengan peringkat umur, maka ianya juga boleh menyumbang kepada nilai-nilai negatif dan akhirnya menyumbang kepada masalah sosial.
Akhir-akhir ini, rancangan realiti televisyen tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Lebih membimbangkan apabila seawal usia kanak-kanak juga tidak terlepas daripada isu ini. Begitu juga drama atau filem tahyul yang semakin hari semakin banyak ditayangkan dikaca televisyen yang mana dikhuatiri akan merosakkan akidah penonton. Atas dasar kesedaran ini, Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA dan Jemaah Yang di-Pertua MPP Malaysia telah merangka Seminar Islamisasi Industri Hiburan 1Malaysia yang mana ianya bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang nilai dan garis panduan syarak dalam industri hiburan disamping menyemai unsur dakwah serta nilai murni melalui hiburan.

Penganjuran seminar ini telah mendapat sokongan dan kerjasama yang erat daripada Bah. Hal Ehwal Pelajar & Alumni UniSZA, Yayasan Islam Terengganu dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Yang dihormati En. Ahmad Fadluldin B. Mohamad, Ketua Pen. Pengarah Pemb. Insan, Yayasan Islam Terengganu.





Dua orang panel yang sangat berpengalaman telah diundang untuk menyampaikan pembentangan kertas kerja. Kertas kerja pertama telah membincangkan berkenaan dengan hiburan kontemporari dan menyentuh serba sedikit berkenaan pandangan syarak terhadap hiburan. Pembentang pertama Al-Fadhil Us. Mohd Faizal Jani (Peg. Hal Ehwal Islam, Pej. Mufti Perak) menegaskan bahawa hiburan yang ada unsur lucah, fitnah, melalaikan adalah haram disisi syarak, manakala nyanyian untuk menimbulkan semangat adalah harus.

Hampir 600 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa IPT dan kakitangan kerajaan tidak melepaskan peluang menyertai seminar ini. Seminar ini dihangatkan lagi apabila seorang seniman tanah air yang telah berkecimpung dalam industri ini lebih 50 tahun membentangkan kertas kerja kedua bertajuk ‘Halatuju Industri Hiburan & Mencari Identiti Bangsa melalui hiburan’ oleh Y.B. Senator Tan Sri Datuk Dr. Jins Samsudin.

Selepas selesai kedua-dua pembentangan, peserta diberi ruang untuk berdialog dengan panel. Banyak soalan yang diajukan oleh peserta disamping tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan bersama ahli panel. Dalam dialog tersebut, Y.B. Tan Sri juga sempat berpesan kepada pengarah filem dewasa ini supaya memberi penekanan yang sensitif terhadap budaya, nilai dan moral dalam pembikinan filem disamping menghormati waktu solat bagi krew muslim. Ini adalah kerana filem yang dihasilkan bukan sahaja ditayangkan di Malaysia bahkan di negara jiran. Sehubungan itu, filem yang dihasilkan mestilah kaya dengan budaya dan nilai masyarakat Malaysia.



Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang dihormati Pn. Hjh. Azizah Bt. Endut, Dekan Fakulti Bahasa & Komunikasi UniSZA. Dalam ucapan perasmian, Pn. Hjh Azizah juga telah mengatakan bahawa penganjuran seminar ini adalah bertepatan pada era globalisasi yang memerlukan kita untuk memahami dan meneliti setiap hiburan yang dihasilkan supaya tidak dipengaruhi oleh budaya luar yang berhibur tanpa ada had dan sempadannya. Tambahan pula, ini adalah penting bagi membetulkan tanggapan masyarakat umat islam khususnya yang beranggapan bahawa islam tidak membenarkan umatnya berhibur. Tambah beliau lagi, penganjuran seminar ini dilihat merupakan pencetus kepada evolusi baru industri hiburan supaya setiap penghasilan seni hiburan kita sentiasa berpaksikan kepada nilai jati diri dan keagamaan. Semoga dengan penganjuran seminar ini dapat membuka minda masyarakat Malaysia khususnya mahasiswa dalam memilih hiburan dan hiburan yang dipilih adalah bersesuaian dengan perkembangan mahasiswa dan tidak terpengaruh dengan nilai negatif. “berhibur tiada salahnya kerana hiburan itu indah, hanya apabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah”.

Thursday, October 21, 2010

POLITIK BARU MAHASISWA KINI


Parlimen Mahasiswa USM atau lebih dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar yang akan diadakan pada 23 hb Oktober 2010 telah mendapat perhatian oleh pelbagai pihak kerana ia adalah satu-satunya parlimen mahasiswa yang akan diadakan buat pertama kali di Malaysia. Percubaan Parlimen Mahasiswa USM yang diadakan pada 25 hb September 2010 telah berjaya  mencapai objektifnya dan kini menunggu giliran untuk persidangan rasmi pada 23 hb Oktober 2010.

Parlimen mahasiswa USM terdiri daripada 58 ahli parlimen di mana 39 adalah exco Majlis Perwakilan Pelajar dan 19 ahli parlimen terdiri daripada pemimpin persatuan pelajar yang dipilih dalam kalangan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar. Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar USM secara automatik menjadi setiausaha Parlimen Mahasiswa USM seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Universiti.

Parlimen Mahasiswa USM ini mempunyai peraturan atau  undang-undang tersendiri yang telah dicadangkan oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa  dalam bengkel pembentukkan Parlimen Mahasiswa USM pada awal tahun ini. Peraturan-peraturan dalam parlimen ini adalah berkaitan dengan cara atau kaedah yang digunakan  semasa parlimen bersidang.
Keistimewaan Parlimen Mahasiswa USM ini dapat kita lihat jika kita bandingkan Parlimen Mahasiswa USM dengan Parlimen Malaysia . Pertama, pemerhati-pemerhati yang berada dalam Parlimen Mahaiswa USM boleh mengambil bahagian dalam perbahasan  semasa sesuatu isu sedang dibahaskan oleh ahli ahli dewan dengan kebenaran speaker. Kedua , dalam parlimen mahasiswa ini, tidak ada istilah pihak kerajaan atau pembangkang, semuanya berbincang atas kapasiti sebagai seorang pemimpin mahasiswa.
Berbeza dengan Parlimen Malaysia, kita mempunyai pihak kerajaan dan pihak pembangkang dalam parlimen.

Ramai yang mempertikaikan tentang kuasa yang ada pada parlimen mahasiswa ini, sehinggalah ada segelintir pihak mempertikaikan bahawa parlimen ini hanyalah sesuatu yang tidak berguna. Perlu diingatkan bahawa setiap binaan yang wujud memerlukan asas yang kukuh. Biarlah parlimen mahasiswa ini menjadi satu tapak permulaan bagi menaikkan roh suara mahasiswa supaya didengari oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan. Usaha ini adalah satu permulaan bagi memastikan mahasiswa pada hari ini melangkah ke hadapan sebagai membuktikan bahawa mahasiswa pada hari ini tidak lesu seperti tanggapan sesetengah pihak terhadap mahasiswa.

Pada pandangan saya, seharusnya negara kita juga mempunyai sebuah  Parlimen Mahasiswa Malaysia sebagaimana yang telah dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia. Jika dilihat di beberapa buah negara seperti Pakistan, India, United Kingdom dan beberapa buah lagi negara, mereka mempunyai sebuah parlimen belia yang berfungsi menasihatkan pihak kerajaan dalam perkara-perkara berkaitan belia. Kewujudan parlimen mahasiswa Malaysia ini sangat penting kerana  bak kata Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak “zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir”.

Parlimen Mahasiswa Malaysia ini boleh dilihat sebagai “Third Force” dalam negara kerana ia bakal mencorakkan politik baru dalam negara kerana partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara akan dapat dilihat melaluinya.Pastinya akan timbul pelbagai perkara apabila idea ini dilontarkan iaitu siapakah ahli-ahlinya? Bagaimanakah  perjalanan parlimen mahasiswa Malaysia ini? dan pelbagai lagi.Bagi saya  semua itu adalah persoalan kedua, persoalan pertama adalah apakah matlamat yang ingin dicapai daripada penubuhan parlimen Mahasiswa Malaysia ini? Sudah tentunya adalah untuk memastikan partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara.

Saya melihat ini adalah salah satu alternatif yang boleh diwujudkan jika ingin melihat partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara, bukannya dengan hanya membenarkan mahasiswa menyertai parti politik boleh  memastikan partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara. Ini adalah idea yang saya lihat dapat memastikan partisipasi mahasiswa dalam  agenda pembangunan negara. Pada hari ini mahasiswa sudah pun mempunyai platform Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, tetapi peredaran masa sentiasa akan menyebabkan perubahan akan berlaku.

Selain itu, jika kita lihat pada hari ini, jawatan senator diberikan kepada orang yang mempunyai kepentingan dalam suatu organisasi atau lapisan masyarakat. Jadi seharusnya pemimpin mahasiswa juga diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai senator tetapi seperti mana yang kita tahu terdapat beberapa syarat yang membataskan penglibatan mahasiswa sebagai senator terutamanya dari segi umur. Sebenarnya idea ini adalah daripada Tunku Abdul Rahman yang pernah mencadangkan supaya satu atau dua kerusi diperuntukkan kepada mahasiswa dalam perbahasan di Parlimen negara. Artikel ini ditulis pada 30 Disember 1974, kira-kira 36 tahun dahulu. Cadangan ini jelas menunjukkan beliau sangat menghormati dan melayani mahasiswa sebagai orang dewasa dan bukannya seperti kanak-kanak yang sentiasa diragui kewibawaannya.

Partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara bukanlah dengan hanya melihat penglibatan mahasiswa dengan parti politik tetapi boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lagi.Ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Mahasiswa pada hari ini berpeganglah dengan kata-kata “ Jangan tanyakan pada negara apa yang negara berikan pada kamu, tanyakan pada diri kamu, apa yang kamu berikan pada negara “.

Mahasiswa pada hari ini seharusnya berdiri atas platform mahasiswa bukannya diperkudakan dan digunakan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan masing-masing.

AHMAD WAFI BIN SAHEDAN 
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2009/2010

Mesyuarat Jemaah YDP MPP Bil. 4/2010

harap maaf kepada pengunjung blog ini. saya tidak dapat untuk paparkan minit mesyuarat sebenar kerana sedikit masalah. Berikut merupakan catatan ringkas berkenaan mesyuarat tersebut:

Tarikh : 25 September 2010
Tempat : Universiti Malaysia Sabah


Mesyuarat MPP (MASISNA)
Agenda:
            1. Ucapan aluan pengerusi
            2. MASISNA - status & permasalahan
                             - perdebatan & cadangan
            3. Hal kampus & mahasiswa
            4. Penangguhan masyuarat
Hasil Mesyuarat
i) MASISNA (Majlis Siswi Nasional)
   Sejarah MASISNA
   - Diasaskan oleh mantan MPMUM pada sesi 2008/2009
   - Ketika itu UM mengadakan FEMINA (Festival Mahasiswi Nasional) & telah menjemput Datuk Shahrizat
     untuk merasmikan majlis penutup festival tersebut.
   - Mantan MPMUM telah mencadangkan kepada Datuk Shahrizat untuk menubuhkan MASISNA
     & diletakkan di bawah KPT
   - Kini status MASISNA masih tergantung (sama ada terletak di bawah KPT @ Kementerian 
     Pembangunan Wanita). Setelah beberapa perbincangan, MASISNA diputuskan untuk diletakkan di
     bawah ISM (Institut Sosial Malaysia).
    Kini MPP siswi sesi 2009/2010 akan menggerakkan kembali MASISNA. Terdapat 4 jawatankuasa
    tertinggi yang telah dilantik pada mesyuarat tersebut.
          Pengerusi        : Zuraini Zambri (UPSI)
          Tim. Pengerusi : Nur Nazihah (UniMAP)
          Setiausaha      : Hayati (UTM)
          Bendahari        : Ili Aishah (UniSZa)
ii) Hal kampus & mahasiswa (sekadar point sahaja - xdapat nak beri maklumat lengkap sbb isinya
    panjang)
    - Penggerak Jemaah Islamiah (JI) di universiti. (Bagaimana untuk mengenal pasti identiti?)
    - Sistem merit di universiti (sejauh mana sumbangan mahasiswa kpd universiti)
    - Isu umur saraan (pekerja) adalah pd umur 60 tahun, apa pandangan mahasiswa.
    - USM -- Majlis Parlimen Mahasiswa
    - Keterlibatan pelajar dalam memberi pandangan di dalam mesyuarat universiti (Senat @ sebagainya)
    - isu bayar PTPTN dengan potongan gaji. Wajar @ tidak?
    - Resolusi mesyuarat MPP
Sekian, terima kasih.

ISU CUEPACS


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Perkhidmatan Awam atau ringkasnya Cuepacs telah mencadangkan kepada kerajaan supaya usia persaraan dinaikkan dari 58 tahun pada masa ini kepada 60 tahun kerana kata mereka di negara-negara lain umur persaraan kebanyakkanya 60 tahun, jadi Malaysia pun perlu mengambil mereka sebagai contoh.

Ini bukan kali pertama Cuepacs mencadangkan umur bersara dinaikkan, malah umur bersara yang baru dinaikkan baru-baru ini pun ianya dicadangkan oleh Cuepacs. Saya mewakili suara mahasiswa  tidak bersetuju dengan cadangan Cuepacs tersebut kerana ianya akan memberi impak yang sangat besar kepada negara kita.

Pertama sekali, sekiranya umur bersara dinaikkan dari 58 tahun ke 60 tahun, besar kemungkinan kadar pengganguran dalam kalangan mahasiswa di dalam negara semakin bertambah, ia sesuatu yang tidak elok untuk ekonomi negara kita. Cuba bayangkan had umur bersara 58 tahun pun kadar pengangguran masih tinggi, inikan pula dilanjutkan sehingga 60 tahun. Saya  merasakan cadangan Cuepacs ini tidak praktikal.

Apabila kadar pengangguran tinggi ia dikhuatiri mendatangkan masalah lain seperti peningkatan kes-kes jenayah berdasarkan teori pengangguran akan menggangu ekonomi negara dan sepertimana kata kebanyakkan pakar ekonomi "If Economy Go Down, Crime Go UP". Secara tidak langsung jika cadangan Cuepacs ini dilaksanakan ia akan mengundang peningkatan kes jenayah.

Tambahan pula, mengikut tahap-tahap kehidupan berdasarkan ilmu Psikologi umur 55 tahun ke atas sudah hilang motivasi dirinya dan juga semangat kerja juga akan berkurangan. Kerja secara acuh dan tak acuh mula menjadi pilihan pada waktu umur ini atau dalam bahasa yang lebih mudah, biasanya pekerja di dalam lingkungan umur ini akan dijangkiti sindrom 'Malas Bekerja'. Ini bermakna Kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukkan wang rakyat untuk pekerja yang kurang kualiti kerjanya.

Kepada Cuepacs saya mewakili mahasiswa  ingin menyatakan jangan hanya pandai mengeluarkan cadangan tanpa berfikir apa implikasinya terhadap orang-orang yang berada di luar daripada kongres itu contohnya siswazah-siswazah yang masih ramai menganggur. Biarlah usia persaraan adalah hanya pada umur 58 tahun.
Jadi lagi sekali, saya mewakili suara mahasiswa membantah cadangan yang dikeluarkan oleh Cuepacs yang ingin melanjutkan usia persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun atas kepentingan mahasiswa pada hari ini dan pada masa hadapan.

Ahmad Wafi Bin Sahedan
Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
Sidang 2009/2010