Tuesday, August 24, 2010

Pra-MPPK dan Mesyuarat MPPK Bil. 1/2010

Tanggal 4-6 Ogos 2010 yang lepas, satu detik manis dirakamkan bagi kepimpinan mahasiswa seluruh negara.
Tarikh tersebut menyaksikan ahli-ahli pimpinan bagi mahasiswa yang datangnya daripada IPTA dan IPTS seluruh negara berhimpun untuk menghadiri Pra-Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di ESSET, BANGI dan Mesyuarat MPPK di PICC. Sepanjang 3 hari berada di sana, terlalu banyak input yang diperolehi dan pengalaman baru bagi mahasiswa yang berhimpun. Selain berkenal-kenalan, para pimpinan mahasiswa dapat bertukar-tukar idea bagi menjana kepimpinan yang mantap di kampus masing-masing.



Sedikit mengenai Mesyuarat MPPK
Mesyuarat ini diilhamkan oleh Tun Abdulah Ahmad Badawi ketika zaman beliau menjadi Menteri Pelajaran suatu ketika dahulu. Tujuan mesyuarat ini adalah supaya para pemimpin mahasiswa dapat berkumpul dan bermesyuarat bersama pimpinan tertinggi negara iaitu YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia sendiri.

Di dalam mesyuarat inilah, para pimpinan mahasiswa diberi ruang untuk mengemukakan terus sebarang cadangan yang datangnya daripada mahasiswa sendiri kepada YAB Timbalan Perdana Menteri. Peluang ini amat bermanfaat kepada para mahasiswa untuk menyuarakan pendapat mereka sekaligus membuktikan usaha kerajaan untuk mendengar suara mahasiswa.

Pra-MPPK
Tujuan Pra-MPPK ini diadakan supaya para pimpinan mahasiswa dapat berbincang dan berkumpul terlebih dahulu bagi mendapatkan penjelasan melalui sesi dialog beberapa isu yang dibangkitkan sama ada di dalam MPPK lepas mahupun isu semasa. Para pimpinan mahasiswa yang ada tidak melepaskan peluang ini untuk mengutarakan soalan-soalan yang bernas agar dapat dikongsikan bersama penjelasannya.



Antara isu yang dibangkitkan kali ini ialah PTPTN, akreditasi pengajian, dan yang paling terkini, isu mahasiswa berpolitik. Isu-isu tersebut dibincangkan dan dikupas dengan panjang lebar oleh para panel yang datang. Malah, Pra-MPPK ini diserikan dengan kehadiran YB Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bagi mengupas isu mahasiswa berpolitik yang dicadangkan sendiri oleh beliau di dalam media massa.

MPPK
Pagi Jumaat 6 Ogos 2010. Dengan segala persiapan yang diatur rapi oleh pihak penganjur, Mesyuarat MPPK bermula dengan lancar. YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat dengan kehadiran daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom dan ramai lagi pemimpin negara turut hadir sama.

Sebanyak 5 kertas kerja dibentangkan kali ini oleh USM, USIM, UM, UTP dan UKM. Kertas kerja pertama daripada USIM bertajuk "Siaran Televisyen Sebagai Medium Pembentukan Masyarakat" menekankan kepentingan media siaran televisyen sebagai medium paling berpengaruh untuk menjana masyarakat 1Malaysia yang murni. USM pula menyentuh isu Model Baru Ekonomi dengan tajuk "MBE: Satu Transformasi Ketidakbergantungan Mahasiswa" dengan tujuan agar mahasiswa sendiri dan kerajaan dapat sama-sama melahirkan generasi mahasiswa yang produktif dan berdaya saing terutamanya dari segi keusahawanan.

UTP pula tampil membawakan isu "Pelan Transformasi Drastik Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Sensitif Dan Cakna Isu-Isu Alam Sekitar". Kertas kerja gelombang hijau ini menzahirkan hasrat agar mahasiswa lebih peka dan melestarikan alam sekitar yang semakin tercemar. Seterusnya, UKM membentangkan kertas kerja mereka dengan tajuk "Transformasi Pendidikan Tinggi Ke Arah Graduan Berketerampilan". Isu ini disentuh secara holistik dengan melibatkan aspek sistem pendidikan dan pendidikan keagamaan. Terakhir sekali, UM menyampaikan pembentangan untuk tajuk "Memperkasakan Program Pertukaran Pelajar - Outbound & Inbound". Kesan yang ditonjolkan melalui program ini ialah untuk melahirkan mahasiswa yang berfikiran terbuka dan mampu bersaing di peringkat global.

Penutup
Melalui mesyuarat ini, jelas dapat dilihat bahawa mahasiswa kini sangat aktif dalam memberikan idea sekaligus menyumbang ke arah pembangunan negara amnya dan mahasiswa khususnya. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur iaitu Jabatan Pengajian Tinggi yang bertungkus-lumus menjayakan mesyuarat ini. Buat pimpinan mahasiswa semua, ada masa kita berjumpa lagi.

0 comments:

Post a Comment