Friday, August 13, 2010

Jangan Ganggu Mahasiswa di Kampus

Utusan Malaysia m/s 10 31 Julai 2010

Mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini telah diberi peluang untuk melibatkan diri dalam kancah politik di universiti masing-masing.Politik yang dimaksudkan ialah politik kampus yang meliputi segala perkara yang berkaitan dengan politik dalam kampus.Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah satu platform yang digunakan oleh mahaiswa/I dalam menceburkan diri mereka dalam dunia politik kampus.Platform ini adalah sesuai digunakan oleh mahasiswa/i dalam membawa idealisme dan agenda perjuangan masing-masing.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ialah salah satu platform yang telah diwujudkan oleh kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa berkaitan dengan isu-isu nasional didengari oleh pihak kerajaan.Selain itu kita juga mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap universiti yang berfungsi memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi universiti masing-masing.

Jadi tidak seharusnya timbul persoalan yang mahasiswa pada hari ini tidak mempunyai platform untuk menyuarakan pandangan atau pendapat mereka. Jika mahasiswa dan mahasiswi menyertai sesebuah parti politik, adakah mereka akan bebas untuk mengkritik kepimpinan parti tersebut?Silap-silap mereka akan digantung keahlian kerana lantang mengkritik kepimpinan parti.

Mahasiswa dan mahasiswi juga tidak akan mempunyai idealisme tersendiri apabila mereka menyertai parti-parti politik kerana kongkongan dasar parti tersebut.Hal ini kerana dasar partilah yang akan membunuh idealisme mahasiswa tersebut.Perkara paling penting yang perlu diingatkan adalah mahsiswa/I adalah golongan yang masih belum menamatkan pengajian mereka.

Hal ini menyebabkan saya yakin dan percaya bahawa apabila mahasiswa/I dibenarkan untuk menyertai parti-parti politik, pengajian mereka di universiti juga akan terganggu dek kerana politik luar ini.

Kemunculan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang sebenarnya melindungi mahasiswa daripada cengkaman parti-parti politik di luar kampus. AUKU yang menyebabkan mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini mempunyai idealisme tersendiri dan juga kita dapat membentuk kepimpinan mahasiswa di kampus mengikut acuan tersendiri tanpa kongkongan parti-parti politik di luar kampus.AUKU juga menjadikan kampus kita selamat dan aman daripada ahli-ahli politik yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperkudakan mahasiswa dan mahasiswi.

Kepada orang dewasa yang berada di luar kampus yang telah berjaya dalam pengajian di universiti dan kehidupan mereka,janganlah cuba mencadangkan idea-idea yang bukan mereka akan tanggung kesannya tapi kami dan generasi akan datang yang akan menanggung kesan baik buruknya. Biarkan kami cemerlang dalam pengajian kami masing-masing dahulu kerana itu adalah harapan setiap ibubapa.

Selepas tamat pengajian, InsyaAllah kami sebagai mahasiswa akan menilai dan memilih parti politik manakah yang akan kami sokong .Tapi berikan kami ruang dan peluang untuk menyiapkan diri kami dalam kampus tanpa gangguan dari luar kampus yang mungkin boleh merosakkan masa depan kami.


Ahmad Wafi Bin Sahedan
Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sidang 2009/2010
Merangkap
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Sidang 2009/2010

0 comments:

Post a Comment