Friday, October 22, 2010

Seminar Islamisasi Industri Hiburan 1Malaysia

Hiburan merupakan satu perkara yang indah dan memberi ketenangan kepada pendengar. Dewasa ini hiburan menjadi satu keperluan dalam hidup manusia. Tanpa hiburan, manusia boleh menjadi bosan, hilang arah malahan lebih teruk lagi akan menjadi kurang waras. Di Malaysia, terdapat banyak jenis hiburan yang mana ianya memerlukan masyarakat Malaysia memilihnya dengan tepat. Sekiranya hiburan yang disajikan tidak bersesuaian dengan peringkat umur, maka ianya juga boleh menyumbang kepada nilai-nilai negatif dan akhirnya menyumbang kepada masalah sosial.
Akhir-akhir ini, rancangan realiti televisyen tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Lebih membimbangkan apabila seawal usia kanak-kanak juga tidak terlepas daripada isu ini. Begitu juga drama atau filem tahyul yang semakin hari semakin banyak ditayangkan dikaca televisyen yang mana dikhuatiri akan merosakkan akidah penonton. Atas dasar kesedaran ini, Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA dan Jemaah Yang di-Pertua MPP Malaysia telah merangka Seminar Islamisasi Industri Hiburan 1Malaysia yang mana ianya bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang nilai dan garis panduan syarak dalam industri hiburan disamping menyemai unsur dakwah serta nilai murni melalui hiburan.

Penganjuran seminar ini telah mendapat sokongan dan kerjasama yang erat daripada Bah. Hal Ehwal Pelajar & Alumni UniSZA, Yayasan Islam Terengganu dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Yang dihormati En. Ahmad Fadluldin B. Mohamad, Ketua Pen. Pengarah Pemb. Insan, Yayasan Islam Terengganu.





Dua orang panel yang sangat berpengalaman telah diundang untuk menyampaikan pembentangan kertas kerja. Kertas kerja pertama telah membincangkan berkenaan dengan hiburan kontemporari dan menyentuh serba sedikit berkenaan pandangan syarak terhadap hiburan. Pembentang pertama Al-Fadhil Us. Mohd Faizal Jani (Peg. Hal Ehwal Islam, Pej. Mufti Perak) menegaskan bahawa hiburan yang ada unsur lucah, fitnah, melalaikan adalah haram disisi syarak, manakala nyanyian untuk menimbulkan semangat adalah harus.

Hampir 600 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa IPT dan kakitangan kerajaan tidak melepaskan peluang menyertai seminar ini. Seminar ini dihangatkan lagi apabila seorang seniman tanah air yang telah berkecimpung dalam industri ini lebih 50 tahun membentangkan kertas kerja kedua bertajuk ‘Halatuju Industri Hiburan & Mencari Identiti Bangsa melalui hiburan’ oleh Y.B. Senator Tan Sri Datuk Dr. Jins Samsudin.

Selepas selesai kedua-dua pembentangan, peserta diberi ruang untuk berdialog dengan panel. Banyak soalan yang diajukan oleh peserta disamping tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan bersama ahli panel. Dalam dialog tersebut, Y.B. Tan Sri juga sempat berpesan kepada pengarah filem dewasa ini supaya memberi penekanan yang sensitif terhadap budaya, nilai dan moral dalam pembikinan filem disamping menghormati waktu solat bagi krew muslim. Ini adalah kerana filem yang dihasilkan bukan sahaja ditayangkan di Malaysia bahkan di negara jiran. Sehubungan itu, filem yang dihasilkan mestilah kaya dengan budaya dan nilai masyarakat Malaysia.



Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang dihormati Pn. Hjh. Azizah Bt. Endut, Dekan Fakulti Bahasa & Komunikasi UniSZA. Dalam ucapan perasmian, Pn. Hjh Azizah juga telah mengatakan bahawa penganjuran seminar ini adalah bertepatan pada era globalisasi yang memerlukan kita untuk memahami dan meneliti setiap hiburan yang dihasilkan supaya tidak dipengaruhi oleh budaya luar yang berhibur tanpa ada had dan sempadannya. Tambahan pula, ini adalah penting bagi membetulkan tanggapan masyarakat umat islam khususnya yang beranggapan bahawa islam tidak membenarkan umatnya berhibur. Tambah beliau lagi, penganjuran seminar ini dilihat merupakan pencetus kepada evolusi baru industri hiburan supaya setiap penghasilan seni hiburan kita sentiasa berpaksikan kepada nilai jati diri dan keagamaan. Semoga dengan penganjuran seminar ini dapat membuka minda masyarakat Malaysia khususnya mahasiswa dalam memilih hiburan dan hiburan yang dipilih adalah bersesuaian dengan perkembangan mahasiswa dan tidak terpengaruh dengan nilai negatif. “berhibur tiada salahnya kerana hiburan itu indah, hanya apabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah”.

0 comments:

Post a Comment