Friday, October 22, 2010

Islamic Fashion Festival: Kecuaian Datin Rosmah Amat Dikesali

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam 1Malaysia..

Pada 9 Ogos 2010, satu acara yang dinamakan Islamic Fashion Festival (IFF) Gala Dinner and Fashion Show telah dianjurkan di Monaco Sporting Club di Monte Carlo, Las Vegas. IFF ini dirasmikan oleh Datin Rosmah yang merupakan isteri kepada YAB Perdana Menteri.

Dalam acara ini, pertunjukan fesyen yang kononnya mencerminkan fesyen Islam telah ditonjolkan dengan harapan untuk mengkomersialkan fesyen busana muslimah.

Akan tetapi amat dikesalkan kerana pihak penganjur seakan-akan amat tidak berhati-hati dengan fesyen yang dipamerkan dan menimbulkan fitnah terhadap amalan berpakaian dalam Islam itu sendiri.

Saya fikir dalam festival ini, Datin Rosmah hanyalah seorang perasmi sahaja dan keseluruhan acara festival ini dikendalikan pihak lain seperti Dubai French Fashion daripada University Esmod dan lain-lain yang terlibat.

Sebagai pihak yang prihatin untuk memperkembangkan bidang perniagaan berkaitan busana muslim, Datin Rosmah sepatutnya lebih berhati-hati dan cakna dengan fesyen 'Islamic' yang cuba beliau tonjolkan. Lebih-lebih lagi beliau merupakan wanita pertama Malaysia yang beragama Islam.

Persoalan tatacara berpakaian dalam Islam mempunyai disiplinnya yang tersendiri, tidak sekadar mengenakan kain ke tubuh badan sahaja. Disiplin dan pendefinisian aurat dalam bentuk tampak kulit, bentuk badan dan bertudung menutup rambut merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam mengembangkan fesyen 'Islamic'.

Kecuaian dalam persoalan aurat boleh menimbulkan fitnah terhadap fesyen dan tatacara berpakaian dalam Islam.

Oleh itu, saya Muhammad Zaki bin Omar, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, mewakili Mahasiswa UTM menyatakan kekesalan di atas pencemaran fesyen berpakaian atas nama Islam yang berlaku dalam Islamic Fashion Festival yang baru sahaja berlangsung di Monte Carlo.

Datin Seri Rosmah Mansor sebagai perasmi majlis IFF perlulah tampil ke media untuk memberi penjelasan kepada umat Islam di Malaysia, mengenai pencemaran imej berpakaian wanita Islam dalam IFF. Penjelasan ini amat wajar kerana beliau membawa imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam acara tersebut.

Sekali lagi saya menyatakan kekesalan dan kekecewaan kami di atas tindakan pemimpin kami yang tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu atas nama agama Islam, yang juga merupakan agama rasmi di Malaysia.

0 comments:

Post a Comment